#930: BAYI ISTIMEWA – NURIMANINA JAPRI

#930: BAYI ISTIMEWA – NURIMANINA JAPRI

Dua hari lalu, saya sepatutnya membuat satu liputan di mahkamah, namun hati terdetik untuk menghubungi rakan wartawan, Mary Victoria Dass yang bertugas di Harian Metro Johor Bahru.
Allah SWT sudah menetapkan perjalanan hari itu lebih jauh dan Mary mengajak saya ke Pasir Gudang menjenguk sebuah keluarga istimewa. Tak banyak yang saya tanya tetapi Mary sempat menceritakan sedikit mengenai keadaan seorang bayi yang dilahirkan dengan otak di luar tempurung kepalanya.
Sepanjang perjalanan, saya tertanya bagaimana agaknya keadaan bayi itu. Mungkin sudah ketentuan Allah SWT, perjalanan saya ke rumah keluarga itu tanpa banyak dugaan. Alhamdulillah saya tiba kira-kira 15minit dari pusat bandaraya Johor Bahru.
Saya tiba di rumah kos rendah bernombor 17 Jalan Mawar 15, Taman Mawar dan disambut seorang lelaki yang sedang meriba kanak-kanak perempuan. 
Jenguk ke dalam, kebetulan Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB Hajah Normala Abd Samad elok bersimpuh bersama beberapa wanita. Saya disambut dengan senyuman dan kami saling bertanya khabar. 
YB Hajah Normala turut ditemani beberapa wanita lain dan saya kira masing-masing pembantu kepada Ahli Parlimen ini.
Tak lama saya bertegur sapa, mata terus teralih kepada seorang bayi di depan mereka. Saya tetapkan hati biarpun jauh di sudut hati, luluh melihat keadaan bayi itu. 
Saya diperkenalkan kepada Japri Isnin, 34, suami kepada Hamira Shamsuddin, 26 dan bayi istimewa mereka, Nurimanina yang kini berusia lima bulan.
Inilah antara cabaran membuat liputan mengenai penderitaan masyarakat. 
Biarpun berkali saya melihat mangsa kemalangan mahupun jenayah, hati tetap keras membatu tetapi apabila bertentang mata dengan kisah seperti ini, hati bagi berderai. Airmata pula bagai tak boleh ditahan tahan lagi.
Namun, Alhamdulillah, ia juga peluang untuk mendalami keperitan hidup orang lain agar kita tak lupa akan golongan ini dan dapatlah saya paparkan kepada masyarakat, terselit kisah seumpama ini agar kita sentiasa berdiri di atas bumi.
Mesra saya lihat YB Hajah Normala bersama ibu Nurimanina walhal pertama kali keduanya menatap wajah masing-masing bagai seorang ibu kejauhan datang menjenguk. 
Hamira sempat menceritakan kisah si kecil Nurimanina ketika dilahirkan mengalami masalah saraf, tanpa lubang dubur, tanpa penglihatan dan kekurangan satu injap jantung. 
Mahu berderai airmata menatap si kecil ini. Sebak rasa hati bagaimana agaknya si kecil menanggungnya. Tetapi saya tabahkan hati demi tugas. Sesekali saya sempat mengusik kakak Nurimanina, Nur Iris Damia yang kini berusia empat tahun.
Terlintas di fikiran, bagaimana agaknya nanti masa depan si kecil ini. 
“Ketika mengandung, doktor yang melakukan imbasan sudah memaklumkan
berkaitan kecacatan Nurimanina kepada kami iaitu keadaan otaknya di luar
tempurung kepala dan masalah jantung.
  
“Namun selepas dilahirkan, Nurimanina juga didapati mengalami
kecacatan di bahagian mata selain ketiadaan lubang dubur,” katanya.
Hamira berkata, biar pun pada asalnya otak di luar tempurung kepala
Nurimanina hanyalah sebesar telur ayam namun kini ia semakin membesar
biar pun keadaan tubuh badannya semakin susut dan hanya mencecah tiga
kilogram.
Berikutan keadaannya itu, si kecil ini terpaksa dibawa berulang alik menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Saya tenung si kecil ini. Redup wajahnya.  
Ya Allah, besar dugaan keluarga ini. Hanya Engkau Maha Mengetahui, Ya Allah.
Bergenang airmata melihat Nurimanina. Sepanjang kami berada di rumah ini, tidak langsung terdengar rengekan si kecil bagai gelisah akan kehadiran kami. 
Si ibu dan ayah pula tak putus melakar senyuman di bibir biarpun jauh di sudut hati, bagai ada sesuatu terbuku.
Hebat dugaan buat keluarga ini. Tak lekang dari bibir mereka akan keredhaan mereka berdua. Tak putus terucap, ini hikmah dari Allah SWT.
Menurut Hamira, bahagian otak anak bongsunya itu juga semakin membesar dan kini mencecah 1.5 kilogram.
19 September lalu, Nurimanina menjalani satu pembedahan lubang dubur dan Alhamdulillah kini sudahpun boleh membuang air. 
Di sebalik keredhaan si ayah dan ibu, pasti sebak bertandang tatkala melihat anak kecil ini sebegini.
Hampir sejam saya berada di rumah mereka, pilu rasa hati melihat si kecil ini. 
Manakala di pihak YB Hajah Normala sendiri, beliau akan turut menghubungi pihak hospital bagi mendapatkan maklumat terperinci bagaimana dapat membantu si kecil ini menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.
“Di peringkat parlimen, kita salurkan bantuan yang seadanya untuk mereka. Kita akan bantu follow up dengan hospital apa langkah kita boleh buat, keadaan bayi, rawatan macam mana. 
“Isi yang terkeluar bahagian otak kalau dibiarkan akan membesar, kita akan jumpa doktor yang mengendalikan kes ini. Jika perlu dilakukan di Hospital Kuala Lumpur, kita akan bantu namun ia perlu dilaksanakan segera, tetapi jika HSA sendiri mampu melakukannya, lagi baik,” jelas Hajah Normala.
Bapa Nurimanina, Japri Isnin bekerja sebagai operator pengeluaran dengan pendapatan kasar RM1,000 sahaja bagi menampung kehidupan mereka empat beranak. 
Siang semalam, saya sempat memuatnaik kisah mereka di akaun instagram,
facebook dan twitter, kerana ini sahaja usaha yang mampu saya lakukan
buat keluarga ini, buat Nurimanina, dengan harapan agar kisah ini
mendapat perhatian saudara saudara Islam mereka dan dapatlah sesiapa yang berlebihan rezeki, turut membantu keluarga ini.
Jika diizinkan Allah SWT akan kelapangan masa, mungkin dapatlah menjenguk keluarga ini dan kongsikan kata kata semangat buat si ayah, si ibu.
Bagi yang jauh, titipkan doa buat Nurimanina Japri mudahan dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Ini juga sumbangan buat keluarga ini dan moga keikhalasan ingatan anda dibalas dengan sejuta kebaikan. Amin Ya Allah.
Selepas saya memuatnaik kisah mereka di instagram, Alhamdulillah, biarpun bukanlah sesuatu yang pelik apabila kisah ini turut mendapat perhatian dari pelakon terkenal Aaron Aziz yang turut berkongsi kisah Nurimanina malah sudahpun merancang untuk melaksanakan aktiviti kebajikan melalui kelab peminatnya, AaronatorsFC buat si kecil ini.
Mungkin ramai tak tahu, Aaron dan isterinya, Diyana sudah sekian lamanya sering menghubungi saya jika terlihat paparan kisah penderitaan masyarakat di kaca televisyen atau di akhbar dan turut sama-sama membantu golongan kurang berkemampuan.
Saya mohon maaf pada Aaron dan Diyana kerana tidak memegang amanah untuk merahsiakan kemurahan hati mereka namun saya rasakan perbuatan yang baik seperti dilakukan pasangan suami isteri ini perlu dikongsi agar menjadi ikutan dan teladan buat yang lain termasuk saya sendiri.
Sedikit rakaman dibuat tika berkunjung ke rumah mereka. Lihatlah sendiri. Disebalik wajah tenang si ayah dan ibu, tersisip akan derita mereka, pilu mereka melihat si kecil menderita hanya Allah yang tahu. Lihatlah.
JAPRI ISNIN
Tel: 012-7405363
17 JALAN MAWAR 15
TAMAN MAWAR
PASIR GUDANG, JOHOR
NO AKAUN MAYBANK 1514 3608 0883 (HAMIRA SHAMSUDIN)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *