#913: SAMUN DI MALAM RAYA, TUMPAS.

#913: SAMUN DI MALAM RAYA, TUMPAS.

Ketika umat Islam sibuk bersiap bagi menyambut Syawal, dua lelaki keluar mencari duit raya dengan melakukan samun.
Keduanya berusia 21 dan 28 tahun bagaimanapun tumpas selepas rakan mangsa berjaya mencekup mereka sebaik kejadian di Taman Perling, Johor Bahru kira-kira jam 8 malam tadi.
Aku kebetulan berada di tempat kejadian. Aku memang macam tu, selalu kebetulan. 
Kira-kira 10minit sebelum itu aku sepatutnya keluar berjumpa seorang contact, tetapi ditangguhkan lantas aku menuju ke sebuah kedai serbaneka di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling untuk membeli ubat aku – Dunhill merah sekotak yang berharga mahal nak mampus.
Aku ternampak sebuah motosikal elok terbaring dikerumuni orang ramai. Dan dicelah-celah orang ramai tu, aku terlihat seorang anggota polis memakai vest sedang berdiri di depan dua lelaki duduk di tepi longkang.

Sangkaan pertama aku, accident. 
Aku turun untuk bertanya soalan lazim yang biasa korang tanya bila terserempak accident:
1. Mati ke?
2. Melayu, Cina India?
3. Langgar apa?
4. Kepala putus tak?
5. Tiada soalan tapi kau keluarkan handphone untuk ambil gambar dan buat story sendiri berdasarkan cakap cakap orang yang ada di situ padahal orang itu pun dengar dari orang lain yang entah tak tahu betul ke tidak.
6. Kau rasa hebat sebab dapat upload ke facebook / instagram atau twitter.
Aku berbisik bertanya pada seorang anggota polis kebetulan aku kenali dan ringkas jawapannya, ragut.
Ya, dalam kereta aku memang ada segala jenis kamera. cctv, drone, infra red. Semua ada. Kamera untuk video kahwin jek tak ada.

Rupanya ada dua setan dah terlepas dari diikat, maka kerja pertama mereka malam tadi ialah cari mangsa ragut atau samun.
Segalanya bermula sebaik pemandu kereta jenis Honda City (foto di bawah) keluar dari kenderaannya meninggalkan isterinya untuk ke kedai serbaneka membeli rokok.

Saspek yang menaiki motosikal dipercayai sudah memerhati sasaran dan menunggu pemandu kereta untuk keluar dan sebaik peluang itu terbit, pembonceng segera ke pintu penumpang depan dan membukanya.

Sebaik dibuka, isteri pemandu itu yang sedang elok menunggu suaminya tergamam apabila seorang lelaki terus mencapai bag tangannya dan telefon bimbit dan melarikan diri.

Apa yang kedua-dua saspek tak sedari ialah, terdapat dua penumpang di tempat duduk belakang, rakan kepada suami mangsa.

Rakan mangsa, menunjukkan bagaimana saspek secara tiba-tiba membuka pintu dan merampas beg tangan dan telefon bimbit rakannya yang duduk di depan.

Rakan mangsa, Khairul Zamri yang duduk di sebelah kiri tempat duduk belakang melihat kejadian itu segera keluar dan cuba menangkap penjenayah terbabit yang sudah berlari ke arah motosikal yang sedia menunggu di belakang kereta dinaiki.

Tindakan pantas Khairul berjaya menarik salah seorang saspek dan berlaku pergelutan menyebabkan penunggang motosikal gagal mengimbangi kenderaan lantas terjatuh.

Seorang lagi rakan mangsa bersama suami yang ternampak kekecohan di luar turut membantu untuk mencekup kedua-dua penjenayah ini.

Anggota polis dari Balai Polis Taman Perling yang tiba melakukan pemeriksaan dan menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan samun mereka.

Polis turut menemui sebuah bag tangan dipercayai milik mangsa ragut sebelum kejadian.

Kedua penjenayah dibawa ke Balai Polis Taman Perling untuk siasatan lanjut. Dan mereka dapat beraya dalam lokap malam tadi selepas dihadiahkan gelang tangan besi.
Sebagaimana sebelum ini, aku sekali lagi nasihatkan anda agar:
1. Jika meninggalkan isteri dalam kenderaan, pastikan anda meminta mereka mengunci pintu sebaik anda keluar biarpun jarak ke kedai / tempat yang dituju tak jauh dari kenderaan.
2. Cuba untuk menghadap kenderaan anda di mana bahagian depan menghadap kedai. Jika tidak, ikuti panduan di atas.
3. Didik isteri anda, jika terdapat karektor yang mencurigakan ketika anda di dalam kedai, tekan hon secara berterusan bagi menarik perhatian orang ramai. 
4. Jangan berhenti di tempat gelap kerana ia mengundang peluang kepada penjenayah. 
5. Untuk yang merokok tu, dah eloklah berhenti merokok.

9 Replies to “#913: SAMUN DI MALAM RAYA, TUMPAS.”

  1. Saya tinggal di taman perling..rasa seriau juga bila baca ni sebab tinggal rumah seminggu lebih ni.
    Apa pun yang no 5 tu macam tak berapa kena je hehehe.
    Apa pun selamat hari raya ye Hazrey..

  2. Diorang ni kena lanyak tak? Buat masa sekarang ini lanyak adalah standard operating procedure untuk kes macam ni, sbb polis dah tak boleh belasah orang dalam lokap.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *