#911: “SAYA JUMPA AYAH DI KUBUR.”

#911: “SAYA JUMPA AYAH DI KUBUR.”


Itulah ungkapan jujur seorang kanak-kanak berusia enam tahun pabila ditanya akan ayahnya.
Seketika, kosong renungannya. Kadangkala berpindah pindah anak matanya, tiada tuju. Kerap juga mengerling ke arahku.
Cinta kanak-kanak ini akan ayahnya tak pernah meruang dan mewaktu. 
Aku genggam perlahan tangan kecil si anak ini. Terasa sunyi gengamannya. 
Ayah pergi tika Muhammad Mustaqim Ahmad berusia dua tahun. Masa itu, Mustaqim belum mampu mengenal dunia. Tapi dia sudah kenal ayah, mak, abang dan kakak. Tak puas dia bermanja dengan ayah. Tak puas dia merengek meminta minta sesuatu dari ayahnya. 
Mustaqim (kiri) bersama abangnya, Muhammad Aiman (10 tahun).
Mustaqim adalah antara 123 anak yatim di bawah jagaan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Bandar Tenggara, Kota Tinggi Johor.
Kekosongan bagai tak dapat disembunyikan si kecil ini. Wajah tak berdosa, biar gelap sedikit kulitnya, hatinya cerah terang terang menyelimut hatinya.
Mustaqim nyata dambakan kasih seorang ayah. Tertib si anak kecil ini tika dipangku. Petah bibirnya bertutur cermat-cermat. Benar didikan ibunya. Ibu yang berjinjing akan tanggungjawab seorang bapa.
“Sekolah tadika dah. Sekarang duduk dengan ibu, dengan abang.” kemas tutur bahasa Mustaqim. Didongakkan wajahnya ke arahku.
Pahit senyuman aku. Hatiku mungkin legam dek dosa dunia, terasa putih bersama si kecil ini. Putih si kecil ini akan dirinya. 
“Adik beradik Mustaqim (ada) berapa orang,” tanyaku pada anak bongsu lima beradik ini.
“Kakak ada dua, abang ada dua jugak,” pantas dia mengisi jawapan sambil menunjukkan jarinya yang dua di sebelah kiri dan dua di sebelah kanan tangannya. 
“Awak nombor berapa,” tanyaku lanjut menduga si kecil ini.
Dia terdiam. Mendongak ke arahku. Enamlah, katanya.
Aku julurkan jariku, dua di kanan dan dua di kiri. Ku gesanya mengira. Satu satu dia mengira.
Satu, dua, tiga empat. 
“Kalau dua abang, dua kakak, awak nombor lima lah kot?” aku bertanya disambut keraguan melayang-layang di matanya yang redup itu.
“Lima eh? hehe,” terungkap ketawa kecil Mustaqim sambil menutup muka. Aku turut ketawa bersama sambil mencuit bahunya lantas disambut gelak berpanjangan kami berdua.
Mustaqim bersama ibu, dua abang dan kakaknya, Muhammad Hamizan (14); Nur Syuhada (13); Muhammad Aiman (10) dan Nur Najiha (9) pada Syawal tahun lalu.
Kata Mustaqim, besar nanti mahu menjadi doktor.
“Ibu selalu sakit kat rumah. Kalau ada orang nangis, nanti ibu sakit jantung.  Mustaqim nak jaga ibu,” terjemah kasih Mustaqim pada ibunya, Zuraidah Sukirman pabila dewasa kelak.
Tak rumit memahami Mustaqim. Dia hanya mahu memastikan ibunya dijaga, ditatang sebagaimana dia dibelai dimanja pada waktu kecil ini.
“Mustaqim tolong ibu kat rumah. Tolong jahit baju.”
“Mustaqim pandai menjahit ke?” celah aku.
“Bukan, bukan, tolong ibu. Ibu jahit baju. Orang punya. Banyak. Nanti tolong ibu kena gulung benang, lipat lipat benang dia.” tercungap cungap Mustaqim bercerita. Sungguh sungguh dia bertutur bagai sebuah cerita tak bosan dibacakan.
“Selalu Mustaqim jumpa ayah. Jumpa ayah dekat kubur. Nanti kalau jumpa ayah, Mustaqim siram air,” tanpa dipinta, Mustaqim memulai wardah tentang ayah.
Sebak hati aku. Berderu seribu soalan dalam benak. Apakah dia tahu ayahnya sudah tiada? Bagaimana si kecil ini mengerti pabila terlihat rakan sebaya enak dalam dakapan seorang lelaki bernama ayah? Terhenti waktu seketika sebaik Mustaqim menuturkan kata kata itu.
Secebis kenangan. Allahyarham bersama Mustaqim ketika kecil.
Adakah setiap petang dia akan berdagu di bucu tingkap menanti kepulangan ayahnya?
Adakah dia akan menjerit keriangan pabila mendengar deru enjin motosikal tetapi kelibat ayahnya tetap tiada?
Ayah Mustaqim, Ahmad Hashim pulang ke rahmatullah selepas terlibat dalam satu kemalangan jalanraya di Senai, Johor pada 11 November 2009.
Tercoret, Allahyarham mengambil upah sebagai seorang pemandu lori dilanggar sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Terdetik hatiku, ingatan pasti berlegar legar pada Allahyarham waktu itu. Waktu itu, hanya satu tujuan si ayah. Pulang mendakap kelima-lima anaknya, disambut senyuman isteri. Alangkah indah. Tetapi Allah SWT lebih menyayangi. 
Langkah kaki Mustaqim tentu deras mengekori ibu ke pusara. Dia sudah petah membaca AlFatihah. 
“Kalau ingat ayah, (saya) baca doa. Doa untuk ayah dengan ibu. Dua dua,” sahut Mustaqim. 
Ayah, ayah sudah di pusara. 
Tiap hari Mustaqim ke mari menemui untuk bertemu mata tetapi..
Ayah tak berkata-kata. Tak nampak wajah ayah.
Hanya kepuk kepuk marmar menjadi dinding ayah.
Hanya tanah-tanah berdinding antara mereka. 
Ayah tak usah risau ayah. Mustaqim tak lekang ingatan akan ayah. 
Wajah ayah selalu hadir dalam lena Mustaqim.
Abang-abang kakak-kakak sama-sama dengan Mustaqim membesar bersama.
Tapi Mustaqim rindukan ciuman ayah. 
Mustaqim, abang, kakak semua rindukan ayah.
Ayah, tak lama sudah hari raya, ayah.
Tak mahukah ayah pulang beraya bersama?
Ayah, Mustaqim mahu merasa telapak tangan ayah di pipi Mustaqim. 
Tak boleh kah ayah datang seketika buat Mustaqim?
Ayah, Mustaqim, abang, kakak mahu mencium tangan ayah erat erat.
Mahu meminta ampun pada ayah di pagi Syawal nanti ayah.
Ayah, ampunkan dosa dosa Mustaqim pada ayah.
Maafkan Mustaqim jika selama ayah menjaga Mustaqim, ayah letih dengan karenah Mustaqim. 
Ayah, ayah pergi disebabkan Mustaqim? Apa salah Mustaqim? Mustaqim berjanji tak akan nakal nakal lagi. Janji.
Mustaqim cuma mahu bermanja. Bermanja dengan ayah seperti kawan-kawan lain.
Seperti Khalish, seperti Hafiz, seperti Fateha, seperti Siti di sekolah.
Ayah. Selagi pohon hayat Mustaqim ini, selagi itulah Mustaqim akan mendoakan ayah.

Ya Allah, di akhirat kelak kau hadiahkanlah ayah dan ibuku sebuah mahkota.
Sebuah mahkota yang sinarnya lebih terang dari pancaran matahari tanpa kelam, tanpa samar, tanpa perdaya si rembulan.
Kau hiaskanlah ibuku dengan perhiasan syurga yang cahayanya menyinari sanubari. 
Kau serikanlah ibuku dengan wangian kasturi bidadari syurga, agar ibuku menjadi tercantik pernah disentuh mata.
Agar ibu dan ayahku paling bahagia di Firdausi sana.
Selamat Hari Raya Ayah. Nanti pagi Syawal, Mustaqim datang jumpa ayah lagi.
Berpimpin Mustaqim pulang bersama abangnya. Digenggam jemari adiknya kemas kemas. Sesekali menoleh ke arahku. Aku kaku.
Al Fatihah buat ayah Mustaqim.
Dan, maafkan kami semua Mustaqim kerana tidak berada di sana untuk Mustaqim pada pagi Syawal. Maafkan kami adik.

9 Replies to “#911: “SAYA JUMPA AYAH DI KUBUR.””

  1. Masa saya aktif beberapa tahun sebagai sukarelawan dulu, saya selalu sebak sorok tangis bila bercampur dan berada dalam kelompok anak yatim macam Mustaqim ni. Hiba sangat padahal bebudak tu gelak seronok jer jumpa kita.

    Sebab tu saya tak sampai nak dengar segala kisah budak macam ni. Sebab selalu terbayang anak sendiri. Sayuuuu…

    Selamat Hari Raya Hazrey. Salam rindu utk Nieza juga.
    Maaf zahir batin.

    Duit raya, mau?

  2. azieazah: pasti berendam airmata kan kita. Apatah lagi kalau kita berbual dengan mereka. Tapi mereka mahukan seorang kawan. Seorang ayah. AlFatihah.

  3. mati itu pasti..kita taktau bila
    mungkin hari ini, atau esok sampai panggilan kita..anak2 kita masih kecil itu bagaimana? mampukah mereka hidup tanpa kita..
    Allah itu ada..insyaallah
    tp hati manusia ini masih ragu, masih teringin nk membelai anak sendiri
    disana nanti pasti berjumpa lagi.
    tapi.. rasa laamanya nk menanti..

  4. salam abg hazrey

    kisah hidup orang lain tak bernah ggal merentap hati sy.ksian Mustaqim,for he is too small to understand.moga mustaqim sekeluarga dlm rahmat Allah.bukan cukup harta,mkan pakai yang kta pndang,tapi the love that fill inside them.mungkin hdup senang,tapi kosong,kosong yang belum tentu penggantinya akan sama.

    dan semoga rahmat Allah bsama abg sekeluarga.(^_^)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *