#947: BAGAIMANA KITA BERBELANJA?

#947: BAGAIMANA KITA BERBELANJA?

Semalam, ramai yang beri reaksi positif dan negatif terhadap tweet saya mengenai pengurusan wang.

Ia tercetus dari satu tweet saya tahu ia dilakukan secara sarkastik, mengenai bagaimana RM50 dibelanjakan untuk sekampit beras dan satu botol minyak masak. Lantas, ia peluang untuk saya mendapatkan reaksi bagaimana pengguna di media sosial berbelanja.

Sebenarnya, ia satu eksperimen sosial yang baik bagi melihat apakah sebenarnya cara perbelanjaan pengguna media sosial dan adakah benar sebagaimana sering kita baca, betapa susahnya hidup mereka disebalik masih berupaya merakamkan kesengsaraan mereka menggunakan internet yang perlu dibayar?

Dan adakah kita sebenarnya tiada alternatif untuk membeli barangan keperluan pada harga rendah? Atau ia hanya persepsi?

Dari reaksi yang saya terima, kita dapat tahu golongan manakah yang sebenarnya faham maksud bijak berbelanja berbanding ‘saya beli mahal sebab nak kualiti’ tetapi apabila disebut tentang kemampuan dan wujudnya produk yang masih mengekalkan kualiti yang sama biarpun bukan jenama terkenal, jawapan mereka, mahu membeli jenama yang dikenali sahaja.

Itu pengaruh pengiklanan.

Dari tweet ini, saya menulis:

“Ternampak ada orang tweet, dia beli beras dgn minyak dah RM50. Its all about money management. Bijak berbelanja. Kesemua dalam foto ini saya beli RM41.15 sahaja. Takkan hari hari nak beli beras? Kau bela saka ke?”

Pengurusan wang atau bijak berbelanja.

Saya baca reaksi satu persatu dan cuba menjawab satu persatu.

Antaranya:

Sebenarnya, seperti yang saya katakan pada salah satu jawapan kepada komen, ia adalah mengenai cara kita membuat carian harga agar kita tak terperangkap dengan harga yang tinggi kerana sikap kita yang malas mencari.

Dengan wujudnya pelbagai hypermarket dan supermarket, ia sekaligus memudahkan kita membuat perbandingan harga barangan dan jika bijak, kita mudah memperolehi harga yang murah bagi barangan yang kita mahu beli.

Sudah tentu hypermarket dan supermarket berlumba-lumba untuk menandingi harga masing-masing dan ini adalah hakikat kerana saya pernah bekerja di industri yang sama.

Ada pula mendakwa, jika murah, bermakna ia tidak berkualiti. Jawapan saya mudah untuk ini. Ketika kita membeli, ukurlah baju di badan sendiri atau ikut kemampuan dan bukan nafsu atau kerana orang lain membeli jenama yang sama, maka anda merasakan, ia satu-satunya jenama yang berkualiti.

Adakah kita membeli tas tangan LV pada harga yang tinggi kerana kualitinya, walhal kita mempunyai pilihan tas tangan murah tetapi mempunyai fungsi yang serupa?

Jika kita mampu, apa salahnya untuk membeli yang berjenama pada harga yang tinggi. Tetapi jenama yang tidak terkenal lazimnya disasarkan kepada kumpulan masses.

Sama seperti pencuci serbuk Ekonomi. Kita tak nampak lagi iklan mereka di mana-mana tetapi bagi kumpulan berpendapatan rendah, ia masih berkualiti dan masih lagi membersihkan pakaian. Begitu juga dengan pencuci pinggan Tesco. Harganya lebih rendah dari pencuci berjenama. Tetapi ia tidak mendatangkan sebarang kesan sampingan dan masih berfungsi seperti diharapkan.

Itulah kuasa pengiklanan. Kita terpengaruh dengan iklan.

Ada pula mendakwa minyak paket mendatangkan kesan jangka panjang.

Apabila saya tanyakan apakah kesan jangka panjang yang dimaksudkan, ia tidak menerima sebarang jawapan.

Rasanya KPDNKK perlu bekerja lebih kuat lagi dalam mendidik masyarakat tentang minyak masak paket ini kerana saya rasakan pengguna twitter ini terpengaruh dengan persepsi kononnya minyak masak paket tidak elok.

Minyak masak paket ini turut menerima subsidi daripada kerajaan dan sebab itu, ia tidak dibenarkan dibeli oleh warga asing untuk dibawa keluar dari negara ini.

Minyak ini sama kualitinya dengan minyak yang dibotolkan. Tiada beza. Dan saya tak tahu dari mana datangnya persepsi bahawa minyak paket tak digalakkan digunakan. Ia tidak benar.

Jika persepsi ini berterusan, ia akan menggalakkan mereka yang sebelum ini bergantung kepada minyak masak paket bertukar kepada minyak masak botol sekaligus meningkatkan kos sara hidup mereka, semata-mata kerana terpengaruh dengan persepsi tidak betul ini.

Harga minyak masak paket 1 kilogram (kg) kekal RM2.50 berikutan subsidi dari kerajaan manakala minyak masak pada berat yang sama menggunakan botol dianggarkan berharga di antara RM3.70 hingga RM3.90 mengikut harga pasaran.

Siapa golongan sasaran minyak paket ini? Golongan tidak berkemampuan. Namun ia tidak sedikit pun mengurangkan kualiti minyak yang sama.

Saya tak pasti dari mana datangnya persepsi kononnya minyak masak paket dikitar semula tetapi apa yang pasti, orang kita mudah terpengaruh dengan khabar angin tanpa mengesahkan sesuatu berita atau tulisan yang mudah diperolehi di media sosial.

“Sejak tahun 2015 sehingga kini, KKM telah menjalankan pemeriksaan terhadap kesemua 214 premis pembungkus minyak masak (repacker) termasuk minyak masak dalam paket dan mendapati tiada bukti premis-premis tersebut ada memproses atau membungkus minyak masak kitar semula. 

“Hasil pemeriksaan ke atas 33,352 premis outlet makanan juga mendapati kesemua premis tersebut tidak menggunakan minyak masak kitar semula,” kata Kementerian Kesihatan melalui satu siaran media pada 14 November 2016.

RUJUK: Dakwaan Minyak Masak Kitar Semula Di Pasaran

Kita tak pula mendengar ada yang kehilangan nyawa akibat dari menggunakan minyak masak paket, malah keluarga saya waktu di zaman sekolah dahulu menggunakan minyak masak paket dan selepas 40 tahun, Alhamdulillah masih hidup lagi.

Mungkin jika minum minyak masak dari paket seperti air sirap boleh akibatkan kematian.

Tingginya kualiti minyak masak kita, ia turut dijadikan sasaran untuk diseludup keluar dari negara ini. Kalau tak elok takkan orang nak seludup keluar?

Bijak kan?

AmnieySuhaimi menulis: “Pandai pilih tempat membeli , jimat la ia .. Pastu minyak tu takkan tiap
kali habis tiap kali tu kau nak beli yang botol .. Botol first tu
simpan la , next beli kampit je .. Takpayah demand sangat pi beli barang
kat supermarket besar , demand gak duit kau nanti.”

Ini cara yang bijak. Tetapi kita pasti ada sahaja alasan untuk menidakkan saranan seumpama ini.

Sejak dari dahulu, kita disaran bijak berbelanja. Antara keperluan hidup dan gaya hidup tapi kita degil nauzubillah.

Kita mudah terpengaruh dengan iklan. Kita mudah percaya pada persepsi kerana kita tak mahu terpinggir dek menentang arus pendapat umum.

“Eh kenapa kau beli pencuci pinggan brand Tesco ni. Kau takde duit ke? Tak baguslah house brand ni.”

Jika kita mempunyai RM50 sahaja adakah kita akan berbelanja di pasaraya yang memang sudah diketahui mahal atau kita mencari alternatif lebih murah? Ia berbalik kepada diri kita sendiri.

Lihat perbandingan harga antara jenama Axion RM5.48 untuk 700 gram manakala jenama Tesco pada harga RM4.19 bagi 800 gram. Mudah bukan jika kita bijak?

Wujudnya hypermarket ini satu hikmah sebenarnya kerana mereka boleh mengeluarkan produk jenama mereka sendiri pada harga lebih rendah dari jenama dikenali ramai.

Menggunakan alasan GST sebagai faktor harga tinggi tidak cukup kukuh sebenarnya kerana biarpun dengan GST, saya masih boleh membeli 11 barangan pada harga RM41.15.

Ada yang berkata, beras kita tak berkualiti.

Tiada siapa melarang anda menikmati beras Basmathi atau beras wangi yang diimport mahupun minyak masak yang menggunakan botol jika ada kemampuan.

Namun beras kita juga berkualiti.

Kerajaan, sebenarnya tanpa kita sedari telah memulakan Dasar Agromakanan Negara 2011 hingga 2020, di mana ia antara lain bagi memperkukuh industri padi dan beras negara.

Bagi melaksanakan dasar ini, purata antara RM2 – RM2.5 bilion bagi tempoh 2011 hingga 2016 diperuntukan secara tahunan bagi subsektor padi dan beras negara.

“Pembukaan empat kawasan jelapang baharu iaitu di Kota Belud (Sabah), Batang Lupar (Sarawak), Rompin dan Pekan (Pahang) yang meliputi 19,000 hektar kawasan bertujuan meningkatkan pengeluaran beras negara yang bukan sahaja dapat memenuhi jaminan dan keperluan keselamatan makanan, malah berupaya untuk dieksport,” Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dipetik sebagai berkata pada September tahun lalu.

Di Johor juga terdapat jelapang padi yang ramai tidak tahu dengan kawasan di Ledang seluas 1,176 hektar selain di Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Muar.

Mungkin ini merujuk kepada tweet berikutnya:

Mahu membeli barangan berjenama tetapi tidak mampu. Sanggup berhabis wang biarpun di sebalik kemampuan. Sebab itu saya katakan, hendak berbelanja, ukurlah baju di badan sendiri.

Kedua-dua gadis ini adalah contoh generasi millenial yang tidak tahu apa itu realiti kemampuan. Tiada siapa melarang anda berbelanja mengikut kemahuan selagi ada kemampuan.

Mereka merasakan hanya jenama berharga mahal sahaja mampu memberikan mereka kualiti.

Ironi bukan? Masih belajar dan terpengaruh dengan persepsi bahawa beli yang mahal sahaja kita boleh memperolehi kualiti disebalik hakiki kemampuan. Jadi mengapa anda duduk di restoran murah jika mahukan kualiti? Atau restoran itu masih ada ‘kualiti’ yang anda mahukan? Ironi.

Seribu rupiah adalah kira-kira 30 sen. Dan pelajar ini yang bersungguh-sungguh menjawab berkata, murah itu tiada kualiti. Mengapa membeli soya murah?

Adakah ia merencatkan akal pelajar ini membeli soya murah? Saya rasa tidak.

Jika kita ada kemampuan, belilah ikut kemampuan. Jika kita mahukan yang lebih mahal atau sebagai dakwaan ‘hanya berjenama sahaja ada kualiti’, work for it.

Tetapi ia tetap tidak menafikan bahawa kualiti produk yang berharga murah tidak kurang bezanya dengan berjenama terkenal.

Dan siapa sasarannya? Tentu sekali bukan untuk golongan seperti Cikgu SabbySabirah yang berbelanja untuk jenama mahal. Alhamdulillah, gaji guru sekarang semakin tinggi berbanding 10 tahun dahulu.

Tetapi kita usahlah merungut hanya semata-mata mahu mengikut trend sehingga berbelanja di luar kemampuan kita.

Sekali lagi, ia berbalik kepada berbelanjalah mengikut kemampuan, yang mungkin sesuatu yang mustahil dan tidak dapat diterima oleh kebanyakan generasi hari ini.

Tetapi usahlah merungut dan mencaci tak tentu pasal jika wang di poket semakin berkurangan kerana berbelanja tanpa perancangan yang betul.

Apapun, saya lihat ramai yang matang dalam soal berbelanja, dengan menggunakan kebijaksanaan. Yelah, kita pula tak bolehlah menganggap jika ada 10 pengguna, kesemua 10 itu memiliki kebijaksanaan.

Anda boleh baca reaksi pengguna di capaian berikut:

https://twitter.com/Hazrey/status/953484355388653568

Selamat berbelanja secara bijak!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *