#946: MENJAWAB ZULKIFLI NORDIN: BERBASIKAL WAKTU SUBUH DAN LAKU AKSI SUPERMAN, WUJUDKAH AKTA PENGANGKUTAN DAN LALULINTAS?

#946: MENJAWAB ZULKIFLI NORDIN: BERBASIKAL WAKTU SUBUH DAN LAKU AKSI SUPERMAN, WUJUDKAH AKTA PENGANGKUTAN DAN LALULINTAS?

Saya dihubungi oleh beberapa rakan dalam bidang penguatkuasaan mengenai tulisan seorang lelaki yang mendakwa dirinya seorang peguam antara lain menyentuh mengenai kejadian lapan kanak-kanak berbasikal terbunuh dalam satu kejadian kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru baru-baru ini.

Sebenarnya saya sudahpun membaca artikel itu yang dimuatnaik oleh Zulkfli Nordin di laman Facebooknya dan reaksi pertama saya ketika itu, saya tersenyum lebar kerana banyak benar fakta yang tidak tepat ditulis lelaki yang mendakwa dirinya seorang peguam.

Saya sibuk sebenarnya dengan kerja harian saya maka tak sempat untuk menulis mengenai apa  yang dibangkitkan oleh saudara Zulkifli itu tempohari.

Berikut antara ditulis saudara Zulkifli:

Salam2all.

Teman berasa terpanggil untuk memberi komen berkenaan kes tragedi kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bharu pada 18 Feb 2017 lepas yang mengorbankan 8 nyawa anak2 muda.

Kemalangan dikatakan berlaku sekitar jam 3 pagi sewaktu anak2 tersebut sedang berkayuh di lokasi bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah.

Dikatakan lebih 30 anak2 tersebut berada dikawasan itu bersama basikal masing2.
Pemandu seorang gadis berbangsa Cina berumur 22 tahun memandu kereta jenis Almera dikatakan merempuh anak2 tersebut yang berkayuh menuju haluan yang sama, bermakna ianya rempuhan daripada belakang.

Melihat daripada gambar kawasan tragedi, kelihatan rempuhan itu berlaku ditepi jalan sebelah kiri.

Sejak mula menceburi bidang kewartawanan pada pertengahan 90-an, saya kerap menghadiri perbicaraan di mahkamah bagi membuat liputan dan peluang itu saya gunakan untuk berkenalan dengan Timbalan Pendakwaraya, peguam dan tidak kurang juga, Majistret.

Ada di kalangan mereka ini turut menjadi sahabat kerana berpegang kepada prinsip, jika kita mahu tambah pengetahuan, bersahabatlah dengan mereka yang berilmu dan saya boleh katakan rakan-rakan terutama di kalangan peguam ini menjadi sumber rujukan apabila terdapat ketidakpastian terhadap interpretasi undang-undang.

Nama-nama pengamal undang-undang seperti Muhammad Abdul Kadir, Muhammad Ashraff Mohd Diah, Analia Kamaruddin, Asram,  Mazri Muhammad, Aizat, Fauzan adalah antara yang sempat saya sebutkan di sini.

Apabila usia semakin lanjut, kita mula mengalami kesukaran untuk mengingat nama sahabat kita apatah lagi senarai mereka terlalu panjang!

Saya memandang tinggi pengamal undang-undang terutama  mereka yang sering mengendalikan kes perbicaraan dan saya tahu standard peguam kerana saya sendiri meneliti bagaimana mereka mengendalikan sesuatu kes DALAM mahkamah.

Ada juga peguam yang hanya ‘bijak’ di laman sosial dan pernah saya kategorikan mereka ini ‘peguam Twitter’ dan ‘peguam Facebook kerana kerap menterjemahkan pemahaman undang-undang secara terkhilaf dan mereka jarang berada dalam mahkamah bagi mengendalikan kes sebenar.

Saya sering katakan, peguam boleh menulis di luar mahkamah apa sahaja pandangan mereka namun ia tidaklah sama di dalam mahkamah kerana proses perundangan itu termasuk mengambil kira elemen Mens Rea (niat jahat), Actus Reas (perlakuan).

Sehubungan itu, apabila mereka menulis, mereka perlu lakukan dengan penuh tanggungjawab kerana ia akan dibaca oleh masyarakat termasuk mereka yang tidak memahami konsep serta istilah perundangan dan mungkin akan menyebabkan mereka terpengaruh dengan sesuatu yang tidak betul.

Dan paling penting tentulah pembentangan fakta yang dilakukan di dalam mahkamah bukan sekadar melihat kepada foto sahaja!

Bagi menjawab apa diungkapkan saudara Zulkifli, berikut antara persoalan yang saya ingin kemukakan:

Zulkifli: Kemalangan dikatakan berlaku sekitar jam 3 pagi sewaktu anak2 tersebut sedang berkayuh di lokasi bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah.

Benarkan fakta ini? Adakah saudara Zulkifli sudah bercakap dengan saksi atau kanak-kanak yang dikatakan sedang berkayuh itu? Benarkah mereka sedang berkayuh?

Berapa usia kanak-kanak ini yang dikatakan sedang berkayuh pada jam 3 pagi?

Tahukah saudara Zulkifli kawasan berbukit bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Bukit Mahmoodiah itu dikenali sebagai tempat ‘lajak’ paling popular di kalangan kanak-kanak berbasikal untuk melakukan aksi ‘superman’ dan saya sendiri antara wartawan yang sering menyertai operasi polis mengusir kanak-kanak ini sejak 2007.

Saya sudahpun menulis mengenai Jalan Lingkaran Dalam ini seminggu lalu di capaian berikut:

Baca: Kejadian Budak Berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, Salah Siapa?

Zulkifli: Dikatakan lebih 30 anak2 tersebut berada dikawasan itu bersama basikal masing2.

Pada satu-satu masa, lebih 100 kanak-kanak berbasikal di kawasan itu dan mereka bukan sekadar berkayuh. Warga Johor Bahru sudah tahu apakah yang dilakukan kanak-kanak di kawasan itu, iaitu melakukan aksi ‘superman’ di tengah jalan itu sehingga jam 5 hingga 6 pagi!

Zulkifli: Pemandu seorang gadis berbangsa Cina berumur 22 tahun memandu kereta jenis Almera dikatakan merempuh anak2 tersebut yang berkayuh menuju haluan yang sama, bermakna ianya rempuhan daripada belakang. Melihat daripada gambar kawasan tragedi, kelihatan rempuhan itu berlaku ditepi jalan sebelah kiri. 


Adakah benar kanak-kanak ini sedang berkayuh. Ia berbalik kepada persoalan yang sama, apa yang sedang dilakukan kanak-kanak ini yang menggunakan kenderaan tidak bermotor beramai-ramai di atas jalanraya pada waktu kanak-kanak lain sedang tidur?

Saya muatnaikkan sekali lagi apa yang kerap dilakukan kanak-kanak berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam iaitu tempat yang sama kemalangan berlaku. Kerap yang saya maksudkan ialah sejak 2007 dan hampir setiap malam minggu dan malam cuti kelepasan am.

Apa kata selain ‘merujuk’ kepada foto, saudara Zulkifli turut merujuk kepada video juga:

Seorang peguam yang bijaksana tidak akan merujuk kepada foto semata-mata sebaliknya akan pergi ke tempat kejadian bagi meneliti kembali pelbagai faktor bagi mengukuhkan fakta yang akan dikemukakan dalam mahkamah.

Apatah lagi sebagaimana kita tahu jika ada pertikaian pada fakta jika ia hanya bersandarkan kepada foto semata-mata, mengemukakan hard evidence adalah penting dalam mahkamah.

“Lazimnya, jika tiada pertikaian dalam sesesuatu foto yang dikemukakan dalam mahkamah, ia bolehlah dirujuk tetapi jika berlaku sebaliknya, bukti yang dimaksudkan perlu dikemukakan secara fizikal bagi mengukuhkan pembuktian.

“Contohnya, jika bukti foto menunjukkan objek berwarna biru tetapi dipertikaian ia sebenarnya adalah warna hijau maka bukti fizikal perlu dikemukakan,” kata peguam berpengalaman, Muhammad Abdul Kadir yang sudah menjadi pengamal undang-undang hampir 20 tahun dan kini banyak mengendalikan kes di peringkat Mahkamah Tinggi.

Muhammad yang saya kenali hampir 5 tahun ini memang sukar untuk ditemui. Kadangkala saya terpaksa menunggu hampir berminggu untuk menemuinya dan dia tiada masa untuk menulis di Facebook dan Twitter kerana kes dikendalikan sudah cukup membuatkan dia sangat sibuk. Malah, akaun Facebook, Twitter dan Instagram pun tidak dimilikinya kerana menurutnya, ia melalaikan!

Antara tugas yang menyebabkan dia terikat dengan masa, dia akan kembali ke tempat kejadian bagi melihat kembali bukti-bukti yang ada kerana sebagai seorang peguam yang berpengalaman, Muhammad berkata “tempat itu sendiri boleh bercakap tentang dirinya sendiri.”

Atau dalam bahasa yang mudah difahami, bukti-bukti sedia ada di tempat kejadian akan dapat membantu siasatan yang dilakukan termasuk mengumpul bukti yang tidak kita perolehi sebelum ini.

Zulkifli: Teman melihat kenyataan2 yang dikeluarkan termasuk oleh pihak polis dan juga Timbalan Menteri Dalam Negeri memberi gambaran seolah2 anak2 tersebut yang bersalah; dengan satu alasan dangkal yang utama: apa anak2 itu buat berkayuh basikal beramai2 jam 3 pagi!

Tidak ada pulak yang bertanya apa seorang gadis berusia 22 tahun buat memandu kereta berseorangan jam 3 pagi? Dan kenapa sehingga hari ini identiti pemandu itu tidak didedahkan, sebaliknya identiti mangsa dengan mak bapak mereka pulak yang didedahkan.

Kebiasaanya kalau berlaku tragedi kemalangan saperti ini dengan cepat identiti pemandu yang melanggar akan didedahkan; tetapi dalam kes ini teman agak pelik!


Saya cuba untuk tidak ketawa ketika membaca tiga perenggan ini tetapi saya gagal. Maafkan saya.

Apa yang diungkapkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad adalah mengenai pencegahan yang boleh dilakukan sebelum kejadian itu berlaku dan jika dibaca dengan akal yang bijaksana sudah tentu memahami apa yang dibangkitkan.

BACA: Isu Berbasikal Lewat Malam Sudah Lama Dibangkitkan

Bagi warga Johor, terutama di Johor Bahru, apa yang dibangkitkan oleh Nur Jazlan senada dengan kebimbangan kebanyakan warga bandaraya ini, aktivi berbasikal dengan melakukan aksi ‘superman’ di kawasan itu hanya menunggu masa berlaku tragedi.

Saya tidak faham apa dimaksudkan dangkal oleh saudara Zulkifli apabila dia mempertikaikan persoalan mengenai kanak-kanak (definisi kanak-kanak adalah mereka yang masih di bawah tanggungjawab ibubapa) berbasikal beramai-ramai pada jam 3 pagi.

Mengapa wujudnya definisi kanak-kanak? Kerana mereka masih belum mampu berfikir seperti seorang yang dewasa maka dengan itu memerlukan pengawasan mereka yang lebih dewasa iaitu ibubapa.

Apatah lagi, kanak-kanak yang dimaksudkan oleh Nur Jazlan adalah mereka yang terlibat melakukan aktiviti berbahaya di jalan itu bertahun lamanya dan kebimbangannya itu berasas.

Dan tidakkah saudara Zulkifli pernah mendengar pencegahan itu lebih elok dari mengubat.

Jika kanak-kanak ini tidak berbasikal secara berbahaya di kawasan itu, adakah mereka akan terdedah dengan kemalangan seumpama itu? Ia perlu dilihat kepada skop lebih luas dan bukan terkongkong kepada kemalangan itu sahaja.
Zulkifli: Halo yop, sejak bila naik basikal jam 3 pagi itu satu dosa; satu kesalahan?

Dibawah Akta Pengangkutan dan Peraturan Lalulintas:

1. Bukan satu kesalahan berkayuh basikal jam 3 pagi!
2. Bukan satu kesalahan berkayuh basikal ramai2;
3. Bukan satu kesalahan berkayuh basikal atas jalanraya;

Apa yang jelas melanggar seseorang atau sesuatu kenderaan daripada belakang diatas jalanraya adalah prima facie satu kesalahan!

Apabila saudara Zulkifli melabelkan persoalan mengenai kanak-kanak bawah umur berbasikal jam 3 pagi sebagai dangkal, saya hanya mampu menepuk dahi dan menggelengkan kepala.

Malah sebagaimana pernah saya tulis sebelum ini, polis tidak pernah lekang mengusir kanak-kanak ini hampir setiap minggu dari berkumpul di kawasan itu yang sudah dikenali sebagai lokasi melakukan aksi ‘superman’ menggunakan basikal yang sudah diubahsuai.


via GIPHY

Dan apabila saudara Zulkifli menulis persoalan berikut:

Zulkifli: Tidak ada pulak yang bertanya apa seorang gadis berusia 22 tahun buat memandu kereta berseorangan jam 3 pagi?

Saya tidak tahu hendak ketawa atau hendak menangis.

Dia membedakan antara kanak-kanak bawah umur berbasikal di kawasan yang sudah dikenali sebagai tempat mereka melakukan aksi ‘superman’ dan tidak berhak berada di atas jalanraya mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan seorang wanita dewasa yang memiliki lesen memandu yang sah mengikut undang-undang yang sama.

Dan berikutnya, saudara Zulkifli mempersoalkan mengapa identiti pemandu itu tidak didedahkan. Untuk apa ya saudara Zulkifli? Agar ia dapat dijadikan modal perselisihan antara kaum?

Zulkifli: Dan kenapa sehingga hari ini identiti pemandu itu tidak
didedahkan, sebaliknya identiti mangsa dengan mak bapak mereka pulak
yang didedahkan.

Kebiasaanya kalau berlaku tragedi kemalangan
saperti ini dengan cepat identiti pemandu yang melanggar akan
didedahkan; tetapi dalam kes ini teman agak pelik!

Adakah pemandu itu diberi perlindungan istimewa; adakah dia daripada keluarga tertentu yang mesti dilindungi? Setakat hari ini teman tidak mendengar sebarang ancaman terhadap gadis Cina tersebut utk membolehkan identitinya tidak didedahkan!


Sebagaimana mereka yang menyokong kepada pertanyaan ini, mereka menganggap pentingnya untuk identiti pemandu itu didedahkan namun membelakangkan persoalan paling utama iaitu mengapa kanak-kanak bawah umur masih berbasikal jam 3 pagi, mengapa mereka menggunakan jalan itu sebagai medan melakukan aksi ‘superman.’

Identiti ibubapa didedahkan oleh pihak media dan bukan polis. Rumah mayat boleh diakses oleh pihak media ketika waris menunggu bedah siasat dijalankan di Jabatan Patologi, Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Memandangkan ia satu kes menjadi tumpuan masyarakat, sudah tentu pihak polis mengambil kira pelbagai faktor terutama ketenteraman awam untuk tidak mendedahkan identiti pemandu itu. Saya melihat sudah tentu kita tidak mahu pelbagai pihak mula membuat kesimpulan masing-masing pada ketika pihak polis giat menjalankan siasatan secara terperinci akan kemalangan ini.

Adakah saudara Zulkifli boleh memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini? Dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh sudahpun mengesahkan wanita berkenaan bukanlah anak mana-mana orang kenamaan.

Agak pelik sebenarnya persoalan ditimbulkan seorang peguam mengenai mengapa identiti pemandu itu tidak didedahkan. Sebagaimana kebanyakan isi yang ditulis saudara Zulkifli lebih cenderung kepada andaian, saya juga ingin bertanya, jika diandaikan selepas identiti pemandu itu didedahkan dan berlaku ancaman, adakah saudara Zulkifli boleh menjamin keselamatan wanita itu?

Zulkifli: Berbalik kepada isu tragedi kemalangan itu, teman merasakan pihak2 berkaitan terlalu menumpu kepada anak2 tersebut berkayuh basikal jam 3 pagi; seolah2 satu dosa besar bagi anak2 itu berkayuh basikal jam 3 pagi!

Teman bukan bermaksud nak membela anak2 itu, tetapi isunya ialah siapa yang bersalah dalam tragedi itu?

Kenapa begitu cepat pihak berkuasa membuat keputusan dan membebaskan pemandu tersebut; dan paling malang ada pulak pihak yang mengugut akan mengambil tindakan terhadap ibubapa anak2 itu kerana membenarkan atau membiarkan anak2 itu berbasikal jam 3 pagi!

Pertama sekali, berbasikal di kawasan itu tidak salah. Tetapi melakukan aksi ‘superman’ di kawasan itu adalah salah apatah lagi menggunakan jalanraya yang diwujudkan untuk kenderaan bermotor. Dan mereka tidak melakukan aksi itu di lorong kecemasan tetapi di tengah jalan. Lihat kembali video ini:

Siasatan terhadap kes ini dilakukan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan secara bahaya sehingga mengakibatkan kematian. Hukumannya jika disabit kesalahan bukan hukuman mati.

Hukuman mati seperti kesalahan membunuh membolehkan Timbalan Pendakwaraya untuk memohon kepada mahkamah untuk tidak memberikan ikat jamin. Kita perlu faham semua ini dan bukannya terus melompat kegembiraan apabila ada seorang ‘peguam’ menulis mengikut andaiannya.

“Jadi pihak polis tidak boleh terus menahannya dalam lokap kerana siasatan terhadap orang kena siasat (OKS) telah selesai (ambil keterangan, ambil telefonnya, ujian air kencing dan lain-lain) dan tiada sebab yang munasabah bagi terus menahannya sehingga mencabul Hak Asasi Manusia dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelas seorang lagi peguam, Hazza Khalid.

“Prinsip undang-undang menetapkan sesuatu kesalahan yang dilakukan mesti disiasat dan dituduh mengikut undang-undang khusus bagi kesalahan berkenaan.

“Dalam kejadian ini, ia adalah kemalangan maut di atas jalanraya, maka undang-undang khusus yang digunapakai ialah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kesalahan trafik adalah Quasi Criminal dan bukan outright criminal case kerana tiada elemen Mens Rea iaitu berniat jahat. Yang wujud hanyalah Actus Rea, iaitu perlakuan,” jelas Hazza dalam tulisannya yang turut dimuatnaik oleh rakan pengamal undang-undang, Analia Kamaruddin.

Zulkifli: Halo yop, sejak bila naik basikal jam 3 pagi itu satu dosa; satu kesalahan?

Dibawah Akta Pengangkutan dan Peraturan Lalulintas:

1. Bukan satu kesalahan berkayuh basikal jam 3 pagi!
2. Bukan satu kesalahan berkayuh basikal ramai2;
3. Bukan satu kesalahan berkayuh basikal atas jalanraya;

Apa yang jelas melanggar seseorang atau sesuatu kenderaan daripada belakang diatas jalanraya adalah prima facie satu kesalahan!

Saya tepuk dahi bila membaca perenggan di atas ini.

Sebagai seorang wartawan yang tidak mempelajari undang-undang sebagaimana pengamal undang-undang seperti saudara Zulkifli namun pendedahan sebagai wartawan jenayah membuat liputan di mahkamah serta merujuk kepada pengamal undang-undang yang sering mengendalikan kes di mahkamah sedikit sebanyak membantu saya menterjemahkan dan menghafal sesuatu undang-undang itu dengan lebih baik.

Dan saya bolehlah dianggap beruntung kerana mempunyai rakan-rakan yang sudi memberikan ilmu secara percuma tanpa secawan kopi mahal di Starbucks atau Coffee Beans!

Pertama, saya tidak tahu dari mana saudara Zulkifli memperolehi Akta Pengangkutan dan Peraturan Lalulintas. Yang wujud hanyalah Akta Pengangkutan Jalan 1987 di mana di bawahnya terdapat kaedah-kaedah yang digunapakai oleh pihak bertanggungjawab.

Terdapat 50 kaedah pengangkutan jalan yang terletak di bawah Akta 333 ini namun tidak pernah saya mendengar Akta Pengangkutan dan Peraturan Lalulintas.

Berbalik kepada persoalan dibangkitkan saudara Zulkifli, berkayuh pada jam 3 pagi tidak salah, tetapi apa yang dibangkitkan oleh majoriti masyarakat termasuk pemimpin masyarakat ialah mengenai apa yang dilakukan mereka di kawasan itu. Fokus kepada kawasan itu yang dijadikan medan aksi ‘superman’ oleh kanak-kanak sejak 2007.

Ia juga berbalik kepada peruntukan undang-undang sebenar yang digunapakai iaitu Akta Pengangkutan Jalan 1987 (saya tidak tahu akta pengangkutan dan lalulintas dimaksudkan saudara Zulkifli) mengenai kenderaan bermotor dan penggunaan jalanraya sebagai medan aksi ‘superman’.

Setakat ini kita hanya mendengar siasatan dijalankan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 namun tidakkah kita terfikir apabila diajukan kepada pihak pendakwaraya untuk penentuan didakwa di mahkamah atau sebaliknya nanti, pihak Timbalan Pendakwaraya akan turut mendakwa ibubapa mangsa di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 kerana Seksyen 31(1)(a) jelas mengenai pengabaian terhadap kanak-kanak sehingga mendedahkan mereka kepada bahaya.

Seksyen 31(1)(a) itu sangat jelas. Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa yang mendedahkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal atau emosi dan ini diperkukuhkan lagi dengan fakta bahawa terdapat aktiviti berbahaya iaitu melakukan aksi ‘superman’ di kawasan yang sama kemalangan berlaku sebelum ini. Itu juga wujud prima facie.

Manakala bagi pengamal undang-undang termasuk saudara Zulkifli sudah mengetahui, jika terdapat kekurangan kepada Investigation Diary (ID) yang dikemukakan kepada Timbalan Pendakwaraya, sudah tentu Timbalan Pendakwaraya akan meminta dijalankan siasatan lebih lanjut, tidak berat sebelah dan bagi memperlengkapkan siasatan. Ia bukan semudah apa yang ditulis di media sosial. Percayalah.

Jika ia semudah itu, sudah tentu lebih ramai pegawai penyiasat (IO), peguam, timbalan pendakwaraya malah majistret sendiri akan kerap menulis di media sosial kerana kelapangan masa yang terlalu banyak.

Zukifli:
5. Ada kenyataan dibuat oleh mangsa dan saksi menyatakan melihat pemandu itu menggunakan telefon bimbit dan memandu laju; oleh itu pihak polis wajib menyiasat maklumat ini. Teman agak hairan dalam tempoh yang begitu singkat kenyataan dikeluarkan konon pemandu tersebut tidak menggunakan telefon bimbit dan tidak membawa laju! Bila siasatan terperinci dibuat?

6. Melihat kepada gambar2 sekitar selepas kejadian, kelihatan rempuhan tersebut sangat kuat sehingga melanggar begitu ramai pengayuh basikal dan menyebabkan 8 kematian! Ini sahaja sudah cukup untuk pihak berkuasa mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan cara pemanduan tersebut!

Dalam bahasa undang2 ada prinsip dipanggil res ipsa loquitur – sesuatu perkara itu terjelas dengan sendirinya!

Hanya seorang mangsa mendakwa sedemikian mengenai penggunaan telefon bimbit dan memandu laju.

Apa yang dinyatakan pihak polis adalah sebagai susulan kepada temuramah wartawan terhadap mangsa itu dan sebagai seorang wartawan saya faham ia adalah bagi mengelakkan pelbagai kesimpulan tidak matang dibuat oleh mana-mana pihak daripada kenyataan mangsa itu.

Susulan daripada dakwaan mangsa kononnya ternampak pemandu menggunakan telefon bimbit, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh membuat kenyataan berdasarkan kepada siasatan awal pihak polis.

Namun, Sulaiman sudahpun menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat tampil membuat laporan polis atau memberi keterangan agar dapat membantu siasatan yang sedang dilakukan. Sudah tentu pihak polis turut mengambil keterangan mangsa yang terlibat kerana mereka berada di tempat kemalangan.

Malah pihak polis sudahpun merampas telefon bimbit yang digunakan pemandu terbabit selain sudah menjalani ujian air kencing.

Sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap ketenteraman awam, sudah tentu pihak polis mengambil kira faktor itu dalam membuat kenyataan susulan terhadap dakwaan mangsa kerana ia akan menimbulkan kesimpulan tidak matang.

Saudara Zulkifli menyebut, ‘apabila melihat kepada gambar-gambar’  dan terus membuat kesimpulan menggunakan prinsip res ipsa loquitor iaitu sesuatu perkara itu jelas dengan sendirinya.

Melihat kepada gambar tidak cukup untuk menggunakan prinsip itu kerana gambar tidak mencakupi ruang / pandangan yang lebih luas untuk menjelaskan dengan sendirinya dalam menegakkan prinsip undang-undang.

Dia menyebut ‘ia sudah cukup’ dan menggunakan prinsip res ipsa loquitor dalam kesimpulan yang dibuat dan ini agak tidak matang kerana sudah tentu siasatan polis mengambil kira pelbagai faktor dan bukan sekadar merujuk kepada foto sahaja.

Ini termasuk jarak selekoh, benarkah kanak-kanak ini berada di tepi jalan, adakah mereka sedang melakukan aksi ‘superman’ di jalan itu dan banyak lagi.

Dan tidak, ia tidak bergantung kepada gambar di media sosial semata-mata kerana sebaik kemalangan berlaku, pegawai penyiasat trafik turut berkejar ke tempat kejadian dalam memastikan segala maklumat dan bahan bukti diambil atau direkodkan bagi tujuan siasatan.

Dan amalan ini sudah tentu diketahui oleh pengamal undang-undang.

Zukifli: Adakah hanya kerana anak2 itu berkayuh basikal jam 3 pagi secara beramai2 maka mereka boleh dirempuh daripada belakang begitu sahaja; dan mereka yang dipersalahkan?

Apa beza anak2 yang berkayuh basikal itu dengan keadaan sebaliknya; apa kata jika pemandu tersebut merempuh beberapa kenderaan lain saperti kereta atau motorsikal daripada belakang?

Tidak ada beza bukan?

Soal mereka berkayuh basikal jam 3 pagi beramai2 bukan isunya! Itu mungkin isu sosial yang perlu ditangani secara berasingan melalui kaedah yang diperlukan.

Berbalik kepada isu ini, kita juga ingin bertanya kepada saudara Zulkifli, apakah tujuan kanak-kanak itu berada di kawasan itu? Bersantai sambil mengayuh basikal? The right of way adalah milik kenderaan bermotor mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Zulkifli: Teman mendesak pihak polis dan pihak berkuasa supaya memperhalusi
siasatan mereka! Dan teman cadangkan supaya siasatan dibuat dibawah
Seksyen 302A Kanun Kesiksaan dan sebagai alternatif Seksyen 42 Akta
Pengangkutan Jalan.

Pertama sekali, tiada Seksyen 302A dalam Kanun Keseksaan. Yang ada hanya Seksyen 302. Ia berbalik kepada apa ditulis saudara peguam Hazza Khalid, ia adalah satu kemalangan maut yang berlaku di atas jalanraya.

Nasihat saya kepada saudara Zulkifli, perbaiki pemahaman undang-undang saudara sebelum menulis dan bukan sekadar menggunakan legal maxims untuk tampak ‘gempak’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *