#945: IBU TAK MAHU JAMIN KERANA MAHU ANAKNYA SERIK

#945: IBU TAK MAHU JAMIN KERANA MAHU ANAKNYA SERIK

Awal pagi 18 November 2012, saya menyertai operasi lazim Cawangan Trafik Ibupejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (IPDJBS) untuk mencegah aktiviti lumba haram di sekitar Johor Bahru.

Tumpuan lokasi operasi di sekitar Pantai Lido yang sering dijadikan medan lumba haram penunggang motosikal dan penduduk di Johor Bahru tahu akan hakikat ini. Mereka ini degil.

Pernah polis menahan seorang penungang motosikal Yamaha RXZ berbekalkan RM5 sahaja dalam tangan untuk menunjukkan ‘skil’ di Pantai Lido itu. Dia datang dari Negeri Sembilan semata-mata!

TEAM PENGUATKUASA TRAFIK

Saya mengenali Inspektor Mohd Lail Ab Halim pada 2009 dan pada mulanya saya beranggapan pegawai muda itu agak sombong apatah lagi dengan wajah yang sentiasa serius, saya agak tak mungkin akan dapat rapat dengan pegawai ini.

Selepas menyertai operasi diketuainya, saya mula kenali lebih dekat dan rupanya dia bertegas pada tugasannya tetapi di luar tugasan, Mohd Lail seorang yang pandai bergurau dan kerapkali dia pandai mengambil hati anak buahnya.

Selain Mohd Lail, saya masih ingat nama-nama seperti Inspektor Adham bersama anak buah mereka, Zulhelmi, Fauzi, Fauzan, Suraya dan Osman Bombay (saya tak tahu kenapa mereka panggil Osman Bombay sebab wajah dia tak ada pun persis pelakon Bombay) yang saya kira sebuah keluarga besar dan erat cawangan trafik IPD JBS yang hebat.

Mengimbau kembali, saya mengenali pegawai dan anggota di cawangan ini bukan baharu.

Inspektor Ibrahim Mat Som yang kini ‘pegawai besor’ dengan pangkat Deputi Superintenden di Ibupejabat Polis Kontinjen Johor, DSP Bakri Zainal Abidin yang kini di Bukit Aman (dahulu di IPD Johor Bahru Utara), DSP Ooi dan Superintenden Ab Halim Abdullah (sudah bersara) dan ramai lagi yang terlalu ramai untuk saya senaraikan.

Cawangan Trafik IPD JBS kini diketuai oleh Deputi Superintenden Wan Zulfikri Wan Osman yang saya lihat turut memiliki kepimpinan yang baik.

Namun banyak kekangan antaranya kekurangan anggota apatah lagi di bandar besar seperti di Johor Bahru di mana banyak program besar diadakan dan pada masa sama, penguatkuasan perlu dijalankan secara berterusan tanpa mengira masa.

Pegawai dan anggota yang sama kerapkali terpaksa bertugas siang dan malam berikutan selain tugasan am, mereka juga perlu menjalankan penguatkuasaan berterusan dan pada pandangan saya, pertambahan anggota amat diperlukan apatah lagi cawangan trafik sudah dipertingkatkan kepada status sebuah jabatan.

Seorang lagi ialah Koperal Suria yang menjadi ‘hero’ kerana ‘menyelamatkan’ saya ketika operasi cegah lumba haram dikendalikan Bukit Aman di Melaka apabila saya terjatuh ke dalam lurang (manhole) di stesen minyak Petronas di Lebuhraya AMJ di negeri itu.

Kerana kejadian itu saya mendapat pampasan dari Petronas kerana kecuaian mereka untuk menutup lurang di dalam kawasan stesen itu dan saya masih belum belanja Korperal Suria makan di Senibong kerana membantu saya ketika kemalangan itu! Nanti saya belanja ya Suria!

Bak kata pepatah Inggeris, ‘if it ain’t broken don’t fix it’ mungkin amat tepat untuk Mohd Lail yang sudah ditukarkan ke IPD Subang biarpun pada pandangan saya sebagai wartawan yang sering mengikuti operasi cegah jenayah, taktikal yang digunakan Mohd Lail dan pasukannya dikira efektif dalam menjalankan operasi cegah lumba haram di sekitar Johor Bahru.

 Foto: Mohd Lail ketika menghubungi ibu kepada kanak-kanak ini yang lari dari sekatan jalanraya.

Pernah ketika mereka menjalankan operasi, kereta yang berlumba enggan memberhentikan kenderaan  biarpun diarah berbuat demikian dan pemiliknya berjaya dijejaki sehingga ke rumah dan pemandu dapat ditahan serta dihadapkan ke mahkamah.

Kami juga pernah dibaling dengan basikal apabila sekumpulan kanak-kanak yang menjadikan Jalan Lingkaran Dalam sebagai medan melakukan aksi ‘superman’ diserbu bagi mencegah aktiviti itu.

Baca: Kejadian Budak Berbasikal Di Jalan Lingkaran Dalam, Salah Siapa?

Mungkin dalam kejadian terkini yang berlaku di Jalan Lingkaran Dalam pada awal pagi Sabtu lalu, pihak atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh mempertimbang secara serius untuk mengembalikan Mohd Lail ke selatan tanahair berikutan keberkesanan taktikal yang digunakan dalam mencegah lumba haram.


IBU TAK MAHU JAMIN ANAK

Hampir setiap minggu saya menyertai operasi dijalankan pasukan penguatkuasa cawangan trafik IPD JBS ketika diterajui Mohd Lail dan saya lihat ia agak efektif berikutan keberkesanan taktikal dan beliau turut menerima pandangan anggotanya.

Malah, pendekatan dibuat Mohd Lail dengan membenarkan anggotanya secara bergilir dengan pengawasannya memberi taklimat saya kira dapat mendedahkan anggotanya untuk skil kepimpinan dan ini harus diberi pujian.

Kisah ibu tidak mahu menjamin anaknya ini hanya sekelumit dari pelbagai cerita yang berjaya kami rakamkan sepanjang menyertai operasi diketuai Mohd Lail ini dan ia memberi pengajaran kepada kalangan ibubapa sekaligus mengurangkan kecenderungan anak-anak mereka untuk berlumba haram di sekitar Pantai Lido.

Ada kisah suami isteri bercerai ketika operasi dijalankan tetapi itu akan saya ceritakan di lain lembaran. Dan, bagaimana anggota Mohd Lain, Lans Korporal Fauzi berjaya mengekang seorang gadis berusia 17 tahun hampir direwang seorang mat rempit.

Saya pernah menulis mengenai kejadian si ibu ini dan saya lampirkan kembali kisah itu. Agak panjang tetapi bacalah kerana ia mungkin dapat dijadikan iktibar kepada kalangan ibubapa.

Ini kisah penuh sebagaimana dipaparkan melalui laporan saya yang disiarkan oleh rangkaian televisyen Media Prima Berhad yang saya buat pada 2012 ini:

BIARLAH DIA MASUK LOKAP

Antaranya termasuk kisah seorang budak lelaki berusia 13 tahun yang pada mulanya begitu yakin memberi jawapan kepada pegawai serta anggota polis trafik, dia dibenarkan menunggang motosikal oleh bapanya, yang juga pemilik kenderaan itu.

Dia antara yang ditahan dalam satu operasi rutin pada 17 November lalu.

Sebagaimana lazim, pegawai polis bertugas menghubungi ibubapa pelajar itu dan selepas menanti hampir dua jam, akhirnya muncul ibubapanya di tepi jalan Danga Bay.

Dari jauh, tampak si ibu bagai meluru tak sabar sabar untuk tiba ke tempat anak lelakinya berdiri.Si ayah pula berjalan lesu. Waktu tika itu hampir jam empat pagi.

Sebaik tiba di depan anaknya, tanpa lengah si ibu bagai melepas geram terus mencubit dan menampar badan anaknya. Kami terpinga pinga melihatkan situasi itu lantas beberapa anggota polis trafik meredakan keadaan.

Terkedu anaknya yang dua jam lalu, beriya-iya mendakwa ibubapanya sudah memberi keizinan untuk dia menunggang motosikal milik bapanya dan turut dibonceng rakan sekampung berusia 16 tahun.
Ketika cuba ditahan, dia melarikan diri dari sekatan jalanraya dan turut menendang motosikal anggota penguatkuasa yang mengejar mereka!

“Masuk lokap jek encik. Masuk sekolah jahat Henry Gurney. Tak apa, saya rela,” tercetus akhirnya luahan hati si ibu sebaik diredakan.

TAK BOLEH DIKAWAL LAGI

“Aku tak boleh kawal kau lagi. Kat sekolah kau anak murid aku, kat luar aku tak boleh kawal kau seorang. Selama ini kau cakap tak goyang, tak goyang, tengok semua polis ni, tengok.

“Kalau dahi ni tak sujud pada sejadah, inilah jadinya,” berterusan si ibu melepaskan geram bagai sebuah drama realiti di depan hampir 50 pegawai dan anggota polis serta anggota Rela yang turut bersama-sama dalam operasi itu.

Suasana menjadi sunyi dan hanya kedengaran suara si ibu. Semua memerhati. Semua bagai menyokong tindakan si ibu. Mat mat rempit lain yang ditahan sebelum ini sibuk berbual sesama sendiri turut kaku melihat adegan itu. Mungkin timbul keinsafan dalam diri mereka?

“Dia cakap, ibu keluar, saya cakap malam minggu jangan keluar. jangan, jangan. Tak tengok kat TV (orang kena tangkap),” luah si ibu dan suaranya beriring nada kekesalan.

“Bila kita marah, dia cakap nak rompak rumah orang. Tak kurang ajar punya anak? Sampai hati kau jadi anak macam ni. Budak sekolah pukul 10 duduk rumah,” kata si ibu lagi dan kali ini nada sudah berselang kesedihan.

Tatkala itu, sudah mula mengalir airmata si ibu. Si anak hanya tunduk kaku, tak seperti tika selepas ditahan dua jam sebelum itu, ceria, beriya iya.

Si ayah tak mampu nak berkata kata. Mungkin sudah puas dileteri anaknya itu. Mungkin sudah kering airmata si ayah memikirkan kedegilan anaknya tika dia keluar mencari rezeki buat kesemua anaknya.

Bagi meredakan keadaan, seorang pegawai polis, Inspektor  Mohd Lail Ab Halim mencelah.

“Kami akan charge (tuduh) dia lari dari sekatan jalan,” kata Mohd Lail tegas.

Mungkin mendengar penjelasan ringkas Mohd Lail itu, tercetus luahan si ibu lagi.

HENDAK TUMBUK IBU SENDIRI

“Kat rumah berapa kali dia nak tumbuk saya. Sekarang ni apa? Aku ni mak kau. Hari-hari aku doa, Ya Allah jadikanlah anak aku golongan yang baik-baik. Tapi kau apa? Ibu mampus, ibu mampus.”

Ketika ini, si ibu mencucuk cucuk perut si anak. Hilang segala kehebatan si anak. Akhirnya ibubapa juga yang datang. Biar marah, kesemua yang menyaksikan bagai mengerti, dia tetap anaknya. Dia tetap darah dagingnya. Mungkin sudah kemuncak kemarahan si ibu.

“Nanti puan datang ke balai trafik untuk jamin anak makcik,” jelas Mohd Lail lagi.

Sambil menjeling marah ke arah anaknya, si ibu dengan cepat menjawab: “Jamin kau? No, no. Ibu tak akan jamin kau, tak ada tak ada,” katanya bagai puas, biar malam itu menjadi pengajaran buat si anak yang degil itu.

Si ibu berlalu pergi.

Lantas, Mohd Lail mengarahkan anak buahnya untuk membawa pelajar untuk dibawa ke balai. Tak sempat dibawa, pelajar itu meraung raung menangis mengejar ibunya.

BIAR DIA SERIK

Sekali lagi kami kaget. Si ibu tak memperdulikan. Kami yang melihat bagai menyokong tindakan si ibu.

Biarkan dia rasa. Biar dia serik. Biarkan. Itulah kata hati kami. Kami pun marah. Apatah lagi mendengar luahan hati si ibu di pagi yang bening itu.

Berterusan suara si anak merintih pada ibunya. Semakin jelas suaranya. Si ibu berhenti. Dibiarkan anaknya menangis, meraung di depannya. Direnungnya anaknya itu.

Siapa tak sayang anak. Tentu wanita itu ibu yang baik. Apatah lagi sebagai seorang guru, sifat penyayang tinggi dalam diri mereka.

Tampak wajah amarah si ibu sudah bertukar menjadi simpati dan penuh kasih sayang, tatkala si anak menarik narik tangan yang sama mengendong dia ketika kecil, memimpinnya ketika melintas jalan, menepuk nepuk tika mahu tidur.

Akhirnya si ibu mengalah. Dipimpin tangan anaknya ke kenderaan polis. Berdiri kaku si ibu melihat si anaknya di bawa pergi dengan kenderaan polis.

Biar marah sekali mana pun, dia tetap anak tetapi biarlah ia menjadi noktah kepada kedegilan mereka. Biar mereka serik.

AWAK ANAK YANG BAIK

Selepas segala proses selesai, saya terserempak dengan si ibu berjalan keluar dari balai beriring dengan bapa pelajar itu. Dan di sebelahnya, anaknya tadi, tangan dipimpin erat, kuat kuat bagai tak mahu melepaskan anaknya itu.

Saya sempat bertegur. Menasihat si anak, jika tak kesian pada diri sendiri, kesianlah pada mak ayah. Kesian mereka berhempas pulas membesarkan awak. Esok awak dah kahwin, awak nak anak awak macam awak?

Tertunduk diam si pelajar itu. Saya tepuk bahunya beberapa kali dan sempat berkata padanya, awak mesti anak yang baik sebab tu awak menangis minta maaf pada mak tadi. Dan sempat saya mengucapkan terima kasih kepada si ibu dan ayah kerana tak putus asa dengan kasih sayang pada si anak yang degil ini. Tersenyum si ayah. Bagai mereda hati si ibu.

Itulah antara kisah kisah kecil yang mahu saya jadikan iktibar untuk kita semua. Kongsilah dengan sesiapa, pada anak anak, pada anak saudara atau mungkin pada diri sendiri. Jahat mana sekalipun, ibu ayah tetap bersengkang mata buat anak-anak. Biar sakit lutut, biar membuai diri dek tak lena tidur, semuanya demi anak!

Itu hanya sekelumit. Saya memang mahu berkongsi segala kisah di sini tetapi kadangkala masa tak mengizinkan. Yelah kais pagi makan petang. Kalau tak dikais, mahu tak makan petang nanti kan.

2 Replies to “#945: IBU TAK MAHU JAMIN KERANA MAHU ANAKNYA SERIK”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *