#942: JKR – JANGAN KELENTONG RAKYAT.

#942: JKR – JANGAN KELENTONG RAKYAT.

Lama tak menulis. 
Pertama, blog ini tiada iklan. Saya menulis di sini bukan untuk dibayar. Lazimnya, sesuatu ditulis berkaitan dengan kehidupan kita. Yang mungkin, jika tidak diberi perhatian, mungkin ada orang lain jadi mangsa. Dan tidakkah kita fikir, sampai bila sistem perkhidmatan awam akan terus berada pada standard sampah? 
Dengarnya, Pengarah Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sangat benci pada saya. Saya kira itu satu penghormatan sebab beliau membenarkan saya hidup dalam ingatannya. Saya tahu mengapa kebencian itu. Ramai pembaca blog ini pun tahu kenapa. Semuanya berbalik kepada cara perkhidmatan awam menjalankan AMANAH dan TANGGUNGJAWAB yang diberikan. Apa yang lazimnya kurang difahami kakitangan awam mengenai amanah, ia bukan sahaja daripada rakyat tetapi ia juga amanah Allah. Jika anda tidak menunaikan amanah itu, tidakkah ia dikira sebagai berdosa?
Berbalik kepada tajuk ini. Saya minta maaf tetapi itulah hakikatnya yang berlaku.
Saya antara ribuan pengguna lebuhraya Pasir Gudang. Ramai tahu, ia sedang dinaiktaraf. Ramai tahu, jika projek naiktaraf, ramai akan menderita. Sistem pengurusan trafik di kawasan pembinaan di Malaysia SANGAT TERUK. Saya masih terfikir, Jabatan Kerja Raya bukanlah satu jabatan baru apatah lagi diterajui seorang bergelar IR sebagai Pengarah. Tidakkah, sebagai sebuah jabatan yang banyak melalui pelbagai pengalaman, mampu menjadi satu jabatan yang lebih baik dan proaktif? 
Kebetulan, dua media perdana menulis mengenai keadaan lebuhraya Pasir Gudang semalam.
Pertama, Sinar Harian dan kedua, Berita TV9 dan turut disiar Edisi 7, ntv7.

Artikel Sinar Harian di sini dan laporan Berita TV9 di sini.
Kita faham mengenai usaha kerajaan untuk memperbaiki kemudahan sedia ada. Kita faham akan berlaku kesulitan demi keselesaan masa depan. Tetapi kesulitan itu tak usahlah sampai mengancam nyawa pengguna. Merugikan pengguna. 
Kebetulan pada dua malam lalu, saya berkejar ke Taman Daya kerana dimaklumkan terdapat satu kes seorang remaja terjun dipercayai bunuh diri daripada sebuah flat perumahan. 
Daripada Taman Perling, saya mestilah melalui Lebuhraya Pasir Gudang. Sepanjang perjalanan, bukan satu, bukan dua, berkali-kali tayar kereta saya terhentak dek lubang yang tidak diperbaiki.
Kisah lubang di permukaan jalan lebuhraya Pasir Gudang bukan baru. Selama mana filem pertama Star Wars, selama itulah kisah lebuhraya Pasir Gudang ini.
Saya pasti ramai pengguna lebuhraya ini setuju. Apatah lagi yang sudah muak untuk mengadu kepada JKR.
Saya pernah utarakan kepada JKR dan Menteri Kerja Raya untuk menjenguk ke seberang tambak dan mengkaji bagaimana pengurusan trafik di kawasan pembinaan dikendali dengan baik, meminimumkan kesulitan kepada pengguna. Contohnya, jika terdapat jalan lencongan, ia akan diturap dengan baik mengambil kira tempoh pembinaan dan bukan dengan kualiti yang remeh sebagaimana kita lihat di negara kita. Sampai bila kita perlu hidup dengan cara kerja JKR seperti ini?
Ia tidak memerlukan kita menjadi pakar matematik, untuk mengambil kira, jika disediakan jalan sementara pada kualiti yang baik, ia menjimatkan daripada pelbagai sudut. Mungkin mereka yang bergelar IR tidak arif dengan perkiraan seperti ini. Perkiraan itu termasuklah menjimatkan masa pengguna, kos pembaikan seperti lubang tak habis habis dan yang paling utama, mengelakkan nyawa melayang. 
Saya agak pelik dengan cara kerja JKR. Kadangkala saya tak tahu, betul ke JKR ni mempunyai kakitangan yang cukup? Tetapi jika kita lihat pada isu lebuhraya Pasir Gudang ini, JKR adalah badan kawalselia terhadap kontraktor. Kenapa aduan diterima hampir setiap hari jika JKR benar-benar tegas, benar-benar menjalankan amanah diberikan iaitu mengawal selia dan memastikan kontraktor yang menjalankan kerja di situ tidak menyusahkan pengguna?
Untuk rekod, lebuhraya Pasir Gudang adalah jalan persekutuan.

Lihat bagaimana Menteri Kerja Raya dikelentong anak buah sendiri. Saya tidak menyalahkan Datuk Fadillah Yusof kerana beliau bukan berada di Johor Bahru. Takkan semua benda menteri nak kena tengok? Memang teruk rupanya jadi menteri ni. Kalau salah maklumat diberi, tersilaplah maklumat disampaikan. 
Foto yang pastinya dihantar oleh anak-anak buahnya itu adalah kes tanah runtuh di salah satu laluan jejantas lebuhraya Pasir Gudang.
Lanjutan berita disiarkan Sinar Harian, ia turut mendapat reaksi pengguna, biarpun pada sebelah malamnya saya turut menjadi bahan cercaan dalam grup Rakan Kementerian Kerja Raya (Rakan KKR) di aplikasi Whatsapp. Itu kita cerita kemudian. Baca twitter daripada pengguna ini.
Begitulah. Begitu cara kerja JKR. Nanti dulu, jangan tepuk dahi dahulu. Berikut adalah susur masa (timeline) twitter saya dua malam lepas:
Lihat pada pengguna bernama Che Aman. Jangan tepuk dahi dahulu. Saya ada jelaskan padanya, ia bukan isu siapa kontraktornya, ia isu SIAPA yang mengawal selia projek itu. Dalam ertikata yang mudah, ia projek naiktaraf kerajaan. Jabatan mana yang bertanggungjawab? Tentulah JKR. Saya pada mulanya tidak tahu apa motif budak ini menjawab begitu rupa. Tetapi sedikit siasatan, saya akhirnya tahu mengapa budak ini beriya-iya sangat defensif untuk JKR. Itu kita cerita kemudian. 
JKR Johor melalui akaun twitter rasminya ada menjawab aduan saya. Itu saya puji. Tetapi. Memang banyak tetapi dalam post kali ini. Kita baca dahulu apa jawapan JKR Johor:
Di Johor, rupanya, terdapat 1,763,471 lebuhraya Pasir Gudang hinggakan pengendali akaun twitter rasmi JKR Johor ‘terpaksa’ mendapatkan maklumat lebih lanjut di mana kawasan pembinaan naiktaraf ini. Bagi anda pengguna lebuhraya Pasir Gudang, jika terlalu banyak lubang di kedua-dua arah lebuhraya ini, bagaimana agaknya anda akan menyampaikan maklumat yang diminta JKR Johor ini? 
Pada saya mudah, bukankah JKR disediakan kenderaan oleh kerajaan? Projek menelan belanja RM150 juta itu takkan tiada pasukan untuk memantau? Ini bukan projek turap lubang malam, esok berlubang balik. Ini projek masa panjang. Takkan tiada pengalaman jika berlaku pembinaan, akan terdapat masalah seperti ini? Mana pasukan rondaan? Atau tiada? 
Itu jawapan daripada seorang pengguna twitter. Logik. Isunya adalah turun padang. Lihat kembali laporan Berita TV9 di capaian di atas. Bayangkan ini, penunggang motosikal hilang kawalan selepas terlanggar lubang menyebabkan dia maut. Mangsa meninggalkan seorang balu dan dua orang anak yang masih kecil. Bayangkan itu. Mungkin JKR mahu melihat keadaan ini terlebih dahulu, baharulah bertindak sewajarnya? Atau bertindak menggunakan akal? Atau bertindak berlandaskan amanah?

Ia terpaksa melibatkan campur tangan daripada Menteri Kerja Raya sendiri. Beliau sendiri, kecewa dengan kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembinaan di kawasan itu. Malah turut menegaskan pihak ibupejabat JKR untuk mengambil tindakan tegas.

Di atas kertas, ia tampak remeh akan isu lebuhraya Pasir Gudang ini. Tahukah anda, kira-kira 50,000 pengguna menggunakan lebuhraya ini berulang alik mencari rezeki? 
Sebenarnya, ia langsung tidak memerlukan campur tangan menteri. Tak perlu. Masalah ini adalah masalah berulang dan bukan masalah baru. Masalah jalan berlubang, yang lubangnya kalau salah perkiraan oleh penunggang motosikal, memang di ambang maut. Itu tidak dikira lagi, kerosakan kepada rim tayar pengguna kereta.
Akhirnya, penyelesaian isu ini dimuktamadkan oleh Menteri dan pengguna media sosial ini – Tuan Haji NK.
“Esok aku roundkan utk (untuk) update dlm (dalam) grup @RakanKKR Johor aduan ini,” katanya.
Apa yang saya tahu, Tuan Haji NK ini bukan kakitangan JKR. Adakah kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan JKR Johor sudah ‘diswastakan’ kepada Rakan KKR? Baca selanjutnya mengenai Rakan KKR ini.
Mengenai rakan KKR dan untuk rekod, saya pernah dijemput untuk ‘menyertai’ grup whatsapp Rakan KKR, tetapi saya menolak dengan baik kerana tugas saya mungkin akan menyebabkan saya berat sebelah jika menjadi sebahagian daripada grup itu.
Tindakan saya itu tepat. 
Semalam, saya mendapat senarai siapakah di dalam grup itu, antaranya:
1. Datuk Ismail Karim, Setiausaha Kerajaan Johor
2. Datuk Abd Latif Bandi, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor
3. Datuk Ir Hasni Mohammad, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Banda & Wilayah Johor
Selain mereka, grup ini turut disertai orang awam selain pegawai media Menteri Besar Johor; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Sarani Dollah; Pengarah JKR Johor. Saya bagaimanapun tak pasti berapa ramai yang dijemput dalam grup yang diwujudkan kononnya sebagai sahabat kepada Kementerian Kerja Raya.
Tetapi, ada beberapa nama di dalam grup itu yang saya tahu adalah kontraktor yang cari makan melalui kerja-kerja dengan JKR. Kita sangka baiklah. Memudahkan JKR untuk berhubung dengan kontraktor terbabit jika aduan diterima melibatkan mereka. 
Apa yang menariknya, grup ini juga dijadikan medan cercaan. Menarik bukan?
Bayangkan ini. Saya mengadu sebagai pengguna, dan grup yang kononnya Rakan itu digunakan untuk mencerca saya, disebalik kehadiran pegawai kanan kerajaan dan Exco Kerajaan Negeri. Adakah mereka mengizinkan perkara ini?
Itu saya yang kena. Bayangkan anda yang tak kenal sesiapa, tiada blog, tiada sumber seperti saya, membuat aduan kepada JKR dan tidak mustahil nama anda juga boleh ‘dibincangkan’ sebegini rupa? Apa agaknya cercaan kepada pengadu lain?
Saya agak tertarik dengan print screen ini. Terutama daripada Shakiren Salleh. 
“Hazrey tu memang macam tu. Mesti memandu sambil layan tweeter.. tu yg masuk lubang.” Itu ditulis Shakiren Salleh.
Saya tak kenal siapa Shakiren ini. Saya pun tak pernah lagi mengajak dia menaiki kereta saya memandangkan saya tak kenal dia siapa. Tak apa, biar saya jawabkan untuk Shakiren. Lubang di lebuhraya Pasir Gudang tu terlalu banyak, tak perlu layan twitter (ya ini ejaan yang betul dan bukan tweeter), untuk terlanggar lubang. Saya faham, tak semua mempunyai akal yang baik. Tak mengapa.
Apakah Datuk Fadillah Yusof merestui tindak tanduk Rakan KKR ini yang secara jelas memberi tanggapan atau persepsi bahawa aduan pengguna adalah menyusahkan? Atau, adakah inilah tujuan sebenar pengwujudan grup ini iaitu mencerca pengguna yang membuat aduan?
Adakah ini memberi maksud, tak usah dilayan aduan pengguna iaitu rakyat seperti saya atau daripada  pengguna media sosial Facebook seperti ini:

Maka, jika demikian, saya cadangkan pihak Kementerian Kerja Raya membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menutup semua blog, semua akaun twitter, semua akaun Facebook yang membuat aduan mengenai kelemahan JKR. Ia perlu dilakukan segera kerana bukan mudah untuk menutup mulut ribuan pengguna atau rakyat yang menderita.

Berikut adalah sebahagian daripada pengguna lebuhraya Pasir Gudang yang merungut dan saya paparkan di sini bagi memudahkan Kementerian Kerja Raya melalui Rakan KKR membuat laporan kepada SKMM bagi menutup semua akaun tersebut bagi menutup mulut mereka dan saya pasti mereka terlanggar lubang kerana ‘sedang layan tweeter (twitter).’
Dan untuk rekod, saya tak pasti asal usul budak bernama Che Aman ni yang menjadi sebahagian daripada grup whatsapp ini. Saya jangkakan, dia adalah kakitangan JKR.
Tetapi apa saya tahu, budak ini turut menulis ugutan jenayah terhadap saya selepas bertindak defensif mempertahankan JKR tanpa hujah yang masuk akal.
Dan satu laporan polis sudahpun dibuat terhadap budak ini. Tidak mustahil tindakan sivil menyusul. 
Hakikatnya, saya tidak lagi yakin untuk membuat aduan kepada twitter JKR Johor. Itu saya, anda juga perlu mempertimbangkan.
Tetapi, jika ada masalah, pada siapa perlu kita ajukan aduan? Jangan tanya saya. Saya pun dicerca, apatah lagi anda.
Apa yang saya tahu, saya bukan kontraktor yang perlu buat kerja-kerja mengampu.

7 Replies to “#942: JKR – JANGAN KELENTONG RAKYAT.”

  1. hrmmm ni la masalah bila yg patut bekerja x buat kerja.. benda mcm ni sepatutnya x timbul kalau ada rasa tanggungjawab pd semua pihak.. sampai menteri kena masuk campur.. apa2 pun saya yakin YB Menteri Kerja Raya dapat tangani masalah ini agar tidak berulang lagi.. insyaallah

  2. Pelik betul cara kerja macam ni. Hazrey, kalau engkau dilabel lipas, kami pula macam mana? "No use layan dia". Satu statement yang mengkhianati rakyat selaku pembayar cukai, apa dia lupa? DIA tu sapa? Kalah pengarah JKR!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *