#941: BUAT ADUAN PADA MPJBT? ANDA PERLU KENAL ORANG BESAR.

#941: BUAT ADUAN PADA MPJBT? ANDA PERLU KENAL ORANG BESAR.

Tajuk entri pasti bukanlah sesuatu yang menimbulkan kehairanan atau pelik buat anda.
Ia memang berlaku. Ia memang sesuatu yang perlu anda miliki apabila berurusan dengan agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan dalam entri ini, khas untuk Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah.
Pertama, Yang Dipertua MPJBT bukanlah penjawat awam yang mesra pembayar cukai kerana beliau memerlukan 9 (sembilan) jam untuk menjawab mesej yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp. Saya kagum dengan kepantasan YDP MPJBT kerana 9 jam itu mungkin boleh dikira pantas pada SOP PBT itu.
Itupun selepas puas saya menghantar pelbagai mesej kepada Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Haji Abd Latiff Bandi. Antara mesej yang dihantar kepada Exco ini ialah, kenapa Datuk menjalankan kerja-kerja YDP? Adakah status YDP MPJBT lebih tinggi daripada menteri hingga perlu saya berurusan dengan setiausahanya atau perlu melalui Exco dahulu barulah berurusan dengan YDP?
Ok, masalahnya mudah sahaja.
Minggu lalu, dua tiang lampu jalan di depan rumah kawasan saya padam. Ia bukan akibat blackout memandangkan kawasan sekitarnya tidak mempunyai sebarang masalah nyalaan.
Saya ajukan aduan kepada sistem aduan yang kononnya efisien melalui sistem whatsapp. 

Jangan terlalu yakin dengan sistem aduan ini kerana:
1. Ia tidak akan melayan aduan anda pada hujung minggu.
2. Ia tidak menjawab pertanyaan anda untuk bertanyakan tindakan susulan.
Betulkan jika saya salah, tetapi setahu saya, sistem whatsapp dimuatnaik dan dikendali dari telefon pintar bukan? Sebagai pembayar cukai, anda perlu tahu ini kerana di foto di atas yang disebar begitu meluas oleh MPJBT, ia tidak menyatakan waktu aduan boleh dibuat. Tiada. Anda perlu ada kesabaran kerana sebagai pembayar cukai, kita perlu tunduk dengan cara mereka bekerja. 
Saya agak bimbang dengan suasana gelap di kawasan ini bersebab.
Awal pagi Julai lalu, kebetulan sedang saya berbual dengan seorang anggota polis, sebuah kenderaan jenis Proton BLM dinaiki dua lelaki melintasi kami.
Gerak hati anggota polis Balai Polis Perling itu lantas menahan kenderaan itu dan pemeriksaan mendapati penumpangnya sangat dikehendaki polis kerana terlibat dengan EMPAT kes jenayah. Dua daripadanya, pecah rumah dan dua lagi, mencuri motosikal. Terima kasih Amirul. 

Turut ditemui dalam kenderaan dinaiki pelbagai peralatan dipercayai untuk digunakan bagi tujuan jenayah.
Beberapa minggu sebelum itu, sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki turut berjaya ditahan ketika cuba melakukan samun. Bayangkan jika kawasan ini terus bergelap. Seperti saya katakan kepada YDP MPJBT ini, kawasan gelap mengundang aktiviti jenayah dan ini sudah dibuktikan.
Mungkin kawasan ini bukan kawasan orang ada ada. Sebab itu tindakan dari pihak MPJBT perlahan dan kita menunggu seperti bulan jatuh ke riba. Kita juga tidak tahu apa tindakan sedang dilakukan. Kita tak boleh tahu. Apatah lagi jika anda bukan sesiapa. Anda nak tanya siapa? Apa guna ada talian aduan whatsapp tetapi macam bercakap dengan tembok? Ingatkan nak permudah, rupanya makin menyusahkan.
Akhirnya, selepas seminggu menunggu, saya sekali bertanya kepada talian aduan yang sama namun ia berstatus ‘delivered’ tetapi tidak berjawab. Mungkin YDP MPJBT sudah tetapkan talian itu tak perlu dijawab biar apapun pertanyaan, apatah lagi bertanyakan status aduan. Ini SOP sangat baik. Kita sebagai pembayar cukai perlu tunduk dengan cara kerja MPJBT. 

Sila abaikan perkataan celcom kerana sejak 2007, talian di kawasan ini tetap macam tu. 
Apabila tiada jawapan, saya cuba berhubung dengan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Haji Abd Latiff Bandi. Pada mulanya, dia sedikit defensif akan YDP, dengan mendakwa YDP bagus orangnya. 
Saya menjawab, jika YDP bagus mengapa sistem kerja mereka lemah? Tidakkah apa jua kelemahan orang bawahan mencerminkan kelemahan ketua itu sendiri? Atau YDP tidak terikat atau menanggung liabiliti akan kelemahan orang bawahnya? 
Akhirnya, kira-kira jam 12:58 tengahari tadi (Ahad – ia adalah hari bekerja untuk penjawat awam di Johor), saya menghantar satu mesej whatsapp kepada YDP MPJBT kerana saya merasakan tidak adil terus menerus menekan Datuk Haji Abd Latiff kerana siapa YDP sebenarnya ni?
Saya sangkakan ia akan mendapat reaksi segera dari YDP. Tidak. Saya tidak berhak berurusan dengan Yang Amat Berhormat YDP MPJBT rupanya. Tiada balasan dari YDP MPJBT. Tiada.
Sejam kemudian, sebagaimana sudah saya maklumkan kepada Datuk Haji Abd Latiff, saya mencari kontraktor sendiri dan bersedia mengeluarkan wang bagi kos menukar dua mentol lampu jalan yang berkemungkinan MPJBT belum mengadakan mesyuarat dan menempah meehoon serta karipap untuk menentukan kontraktor manakah akan dipilih untuk menukar dua mentol lampu itu. Mungkin perlu tender agaknya.
Saya bernasib baik kerana rakan sekelas di sekolah dulu, Johari Alias rupanya seorang kontraktor elektrik. Dia menghantar seorang pekerjanya untuk memeriksa lampu jalan itu.
Petang tadi, saya terpaksa keluar ke Taman Pulai Indah kerana membuat satu liputan mengenai bagaimana MPJBT boleh meluluskan pembinaan rumah kediaman di tanah yang tidak stabil menyebabkan mendapan dan kerugian kepada pembeli. Itu kebetulan. Mungkin Allah nak tunjukkan betapa cara kerja MPJBT perlu sangat dijenguk Datuk Abd Rahman Dahlan.
(Antara isu diutarakan pembeli rumah di kawasan itu ialah, bagaimana kelulusan diberikan kepada pemaju bersandarkan laporan jurutera dilantik pemaju semata-mata. Tidakkah ia boleh dimanipulasi kerana ketiadaan jurutera bertauliah untuk menentukan tanah dibina kediaman itu tidak sesuai?).
Pulang dari liputan itu kira-kira jam 10 malam, saya dihadiahkan dengan pemandangan di bawah di kawasan rumah saya:

Adakah salah jika saya mengandaikan ini sebagai tindakan balas aduan saya hingga seluruh kawasan itu ditutup lampu jalannya? Memandangkan tiada siapa yang boleh saya rujuk, memandangkan YDP terlalu hebat hingga tak boleh menjawab mesej saya sehinggalah saya menghentam sedikit Datuk Abd Latiff malam tadi, barulah YDP menghantar berjela jela mesej. Saya pasti Datuk Haji Abdul Latiff faham kerana seorang pemimpin tidak akan melatah atau melenting apabila dikritik. 
Saya rasa, dalam isu ini, Datuk Abd Latiff adalah YDP MPJBT manakala Haji Salehuddin Haji Hassan adalah Exco atau tak keterlaluan saya katakan, beliau adalah Menteri.
Ini kerana, biarpun sedang menghadiri majlis, Datuk Abd Latiff yang saya kenali sebelum dipilih sebagai wakil rakyat sentiasa mempunyai masa untuk membalas mesej saya. Kadangkala lewat tetapi beliau seorang yang sentiasa pantas menjawab persoalan, bukan kepada saya sahaja tetapi kepada sesiapa sahaja termasuk di laman sosial twitter melalui akaunnya, @Latiffbandi
Tetapi betapa susahnya nak tunggu balasan mesej dari YDP walaupun mesej sudah berstatus ‘delivered’. Mohon kerajaan luluskan bajet untuk YDP beli top-up dan dapat balas mesej daripada pembayar cukai seperti saya.
Mungkin sudah sampai masanya ada pemimpin yang sudi menjenguk cara kerja MPJBT dari YDP hinggalah ke budak pejabat. Toksahlah pula, dijenguk dari laporan atas kertas kerana atas kertas semuanya cantik-cantik, semuanya molek molek belaka. Yelah, bak kata perumpamaan – pencuri takkan mengaku mencuri, ya tak?
Akhirnya baru saya tahu, selepas seminggu dan 9 jam, wakil dari MPJBT iaitu YDP sendiri, mungkin selepas ditekan Exco sendiri, menghantar mesej mendakwa fius utama terbakar sejak hari aduan dibuat. Kalau saya pemandu teksi tak pandai twitter, macam mana agaknya ya? Tak mungkin YDP tahu saya menunggu jawapan status aduan saya. 
Lihat jawapan YDP, dan saya percaya jawapan ini berdasarkan laporan budak-budaknya sahaja. Remote control.

Laporan remote control ini menyatakan tindakan pembaikan dilakukan pada 9 September iaitu sehari selepas aduan dilakukan. Saya tak tahu YDP sedar atau tidak, budak dia dah kelentong dia bulat bulat. Sejak aduan dibuat iaitu seminggu lalu sehinggalah jam 11 malam tadi, kedua-dua lampu itu tidak bernyala. Siapa bohong siapa sebenarnya?
Saya suka bila disebut, “bila pusing pusing kawasan tu.” Saya pasti YDP forward mesej ini tanpa usul periksa. Eloklah.
Mengikut mesej yang sama, secara tiba-tiba hari ini, ada ‘orang’ check feeder pillar @ control panel dan masukan fius. Saya tak tahu mana satu yang nak disampaikan YDP ni. Berpusing pusing cerita dia. Laporan budak sekolah pun lebih elok. Tak tahu siapa kena kelentong ni.
Kelakar juga laporan yang diberikan YDP MPJBT ini. Sangat kelakar. 
Tak apalah, kita pembayar cukai, kena telan apa sahaja yang diberitahu. Kita kena tunduk pada cara kerja mereka biarpun baca laporan di atas cukup untuk kita tahu apa sebenarnya berlaku.
Sekali lagi, sudah tiba masanya MPJBT dijenguk agar kuasa yang ada di tangan diperiksa kerana mereka adalah penjawat awam dan berkemudahan dari hasil pembayar cukai. 
Agaknya, jika kita lambat bayar cukai, kalau kita bagi alasan atau buat buat bodoh macam dilakukan YDP ni, apa tindakan mereka? Saya bertanya sahaja.
Saya harap ada yang sudi forwardkan entri ini kepada YDP MPJBT atau tolong printkan kepada beliau dan usulkan sekali kepada Kementerian Perumahan. Mudahan ada perubahan, kesian pada pembayar cukai seperti mengemis.
Sebagai penutup, saya selitkan sedikit dua komen dari facebook saya untuk anda.

Fikirkan. 

4 Replies to “#941: BUAT ADUAN PADA MPJBT? ANDA PERLU KENAL ORANG BESAR.”

  1. Hmm.. teringat kisah semasa saya baru pindah ke rumah saya sekarang 8 tahun yang lalu. Tempat baru, segalanya baru. Jadi talian telefon memang takde lagi. 8 bulan sebelum pindah, dah mohon di TM dan mereka kata, ni tempat baru, makan masa nak buat. 3 – 6 bulan. Ok. Saya faham.

    3 bulan lepas tu, saya dah pindah masuk, terus pegi ke TM Point, nak follow up. Sebab bila call, asyik la tak dapat-dapat. Dia kata tunggu lagi sebab dalam proses. Saya tanya bila agaknya talian telefon dipasang, mereka kata lagi 3 – 6 bulan. Ok. Saya sabar lagi.

    Lepas 3 bulan, masa tu saya dah sarat.Tunggu masa je nak beranak. Saya geram sebab saya emel ke customer service, telefon TM Point, tapi jawapan yang diberi macam ikut SOP saja. Terus saya emel ke CEO TM masa tu. Saya emel pukul 11 pagi, 5 petang saya dapat balasan dari dia.

    Siap dia cc semua orang kanan dia dan boss besar TM di kawasan rumah saya. 2 hari lepas tu, saya bersalin (bulan Disember).

    Ajaib! Dalam masa sebulan (sebulan ok!), segalanya siap! Talian telefon dah sedia, siap dengan Streamyx! (Dipasang 3hb Januari). Dalam masa sebulan tu, tak putus-putus customer service manager telefon saya dan bagitau status terkini (kabel dah dipasang sebenarnya, rundingan dengan TNB – ni untuk data kabel dan pemaju dah selesai, work order untuk contractor dah keluar dsb.) Lepas tu siap ada surat lagi untuk bagitau status kerja.

    Jadi bila baca entri ni, saya sangat faham. Sangat-sangat faham.

  2. ‪Inareeza,
    Saya tidak menyalahkan anda jika anda tidak bijak memahami apa yang ditulis kerana tak semua orang bijak. Saya maafkan anda kerana tidak boleh membaca kesemua perenggan secara sempurna dan menggunakan akal yang elok.

    Dan maksud anda semua benda baik orang tak nampak, itu sebenarnya kenyataan dangkal kerana anda membawa maksud amanah serta tanggungjawab yang diberikan itu perlu diberi pujian setiap masa dan ditayang setiap masa, maka malanglah negara ini. Sangat malang jika anda juga penjawat awam.

    Jika anda bercakap bagi pihak MPJBT, ini nasihat saya, jika tak boleh ditegur atau dikritik, seeloknya pergilah kerja di jabatan perikanan dan duduk di tengah laut supaya tak bercampur dengan manusia. Tetapi jika takut dilambung ombak, usahlah berumah di tepi pantai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *