#939: ‘PM’ UNTUK HARGA.

#939: ‘PM’ UNTUK HARGA.

Sejak ketamadunan internet semakin berkembang, peniaga dalam talian atau online tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Saya suka ayat pertama ini. Nampak intelektual kan. 
Saya jarang makan cendawan. Sesekali mungkin di gerai makan tomyam milik ‘Man Siam’ saya pesan Nasi Goreng Cendawan. Man Siam bukan warga Malaysia tetapi Pattani, fasih berbahasa Melayu dan pada awalnya saya langsung tak faham kenapa dia panggi saya ‘boh’. 
Lama saya nak fahamkan perkataan boh tu. Saya ingatkan dia ejek saya. Rupanya ia perkataan boss. Tak sangka Man Siam anggap saya seperti boss dia. Tapi panggilan itu agak mengerikan saya kerana menjadi majikan warga asing tanpa permit, boleh masuk penjara. 
Kembali kepada peniaga online. Man Siam tidak memperdagangkan jualan tomyam mahupun Nasi Goreng USA melalui facebook atau instagram. 
Hari ini ramai peniaga menggunakan laman sosial facebook dan instagram sebagai platform bagi menjual barangan mereka. Ini satu usaha keusahawanan. Ada yang melakukannya secara sepenuh masa dan tak kurang yang bergiat secara separuh masa.
Kerapkali jika saya terlihat akan iklan, termasuk yang sanggup membayar facebook untuk dipromosikan, menggunakan pendekatan ‘pm for price’. 
Sebagai seorang warga emas yang kurang arif tentang dunia siber yang jauh meninggalkan zaman Mirc kami di mana A/S/L lebih kami fahami, pada mulanya saya menyangka mereka mahu Perdana Menteri yang memberitahu mereka harga barangan dijual. 
Akhirnya, saya faham ia adalah singkatan kepada Private Message. Maafkan saya.
Saya hairan. Mengapa perlu berahsia tentang harga yang dijual? Mengapa tidak dipaparkan terus harga barangan jika benar mereka adalah peniaga online yang telus dan jujur?
Saya utarakan isu ini di twitter semalam.
Seorang rakan twitter, Helmy Abd Hashim memberi sedikit pencerahan, katanya ia bagi mengelak pesaing mengetahui harga ditawarkan dan mereka dicantas. 
Saya faham masalah itu.
Tetapi tahukah peniaga online sekelian, wujud Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (pencatutan bermakna mengambil keuntungan melampau lampau sehingga boleh beli lima banglo secara tunai).
Akta ini menjelaskan kewajipan setiap peniaga meletakkan tanda harga kepada produk atau perkhidmatan yang ditawarkan termasuk melalui transaksi elektronik.
Saya lihat, jika tiada ketelusan tentang harga produk yang ditawarkan melalui dalam talian dan harga diberikan secara rahsia, tidakkah ia membuka peluang kepada manipulasi harga seterusnya pengguna menjadi mangsa?
Adakah kita tahu harga kita perolehi sama dengan si polan lain yang turut menghantar mesej secara ‘private’ itu?
Sebab itu wujudnya akta ini adalah bagi melindungi pengguna. Sebelum kewujudan akta ini, peniaga tidak wajib meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual maka ia membuka peluang kepada peniaga tidak bertanggungjawab mengaut untung berlebihan.
Dahulu kita sering mendengar, “kalau dengar kau dari luar atau dialek kau bukan orang tempatan, harga mesti potong leher,” mungkin hampir kesemua kita pernah mendengar ayat sedemikian rupa.
Sebab itu, wujudnya kewajipan untuk meletakkan tanda harga. 
Saya setuju dengan sentimen yang diperkatakan Helmy dan kami juga setuju, pengguna sebagai majoriti perlu dilindungi maka kita seharusnya mendesak KPDNKK untuk memberi amaran kepada peniaga online untuk memaparkan tanda harga agar tiada manipulasi. 
Kita tak perlu boikot peniaga kerana apa yang mereka lakukan adalah baik untuk memperkukuhkan kewangan isirumah mereka. Tetapi kita perlu hindari peniaga yang tidak telus dalam memaparkan harga pada produk mereka, kerana tiada jaminan langsung harga yang dihantar secara rahsia itu sama diberikan kepada semua pembeli.

5 Replies to “#939: ‘PM’ UNTUK HARGA.”

  1. betul tu bang…sebenarnya saya rasa "PM fro Price" ini macam tak telus skit..adakah kita dapat harga barang below market price atau harga tu sebenarnya harga sembelih..

    Regards,
    -Strider-

  2. Masa pergi seminar perniagaan melalui facebook..mmg dia suruh begitu…satu bentuk strategy katanya. Tp utk pemalas mcm koi….letak je harga siap siap…
    kalau ada 10 org nak tau harga…kena reply 10 pm. Dah tu…dan dan tu juga dia nak kita reply harga…
    lambat sikit mulalah…
    nak berniaga ke tak ni?.tp tak reply pm I pun…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *