#937: ISU CADBURY – JAKIM AKAN ADAKAN MESYUARAT.

#937: ISU CADBURY – JAKIM AKAN ADAKAN MESYUARAT.

Ini lanjutan dari entri sebelum ini: #936: Isu Cadbury – Kementerian Kesihatan vs Jakim.
Pagi tadi, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengeluarkan kenyataan berikut melalui laman Facebook Kementerian Kesihatan
(Nota: Terdapat sekurang-kurangnya tiga laman fb menggunakan nama Kementerian Kesihatan dan sangat mengelirukan).

Melalui kenyataan satu perenggan itu, beliau menjawab persoalan yang saya utarakan – mengapa Kementerian Kesihatan mengambil masa yang lama untuk membuat pengumuman. 
Saya petik semula apa yang dinyatakan:
“Tarikh 27 February ialah tarikh mula analysis. Analysis mengambil masa termasuk verifikasi dan pengesahan maklumat. “
Saya agak pelik dengan kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan ini. Sangat pelik. Saya berjaya mendapatkan informasi dari Makmal Kesihatan Awam Ipoh. 

Makmal ini antara lima makmal diwujudkan Kementerian Kesihatan Malaysia. Malangnya, hanya makmal di Ipoh sahaja yang mempunyai laman web yang membolehkan kita mendapatkan maklumat mengenai Piagam Pelanggan mereka.
Di laman web Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), langsung tidak disebut mengenai piagam pelanggan dan ini sesuatu yang pelik kerana cawangan mereka di Ipoh memiliki senarai piagam pelanggan.
Berikut adalah Piagam Pelanggan Makmal Kesihatan Awam Ipoh bagi tiga kategori iaitu pengurusan, penyakit dan makanan. Sila perhatikan bahagian makanan.

Ia memberikan tempoh antara 7 hingga 30 hari bagi menjalankan “perkhidmatan analisa makmal yang cepat, tepat dan boleh dipercayai dan memenuhi piawaian serta kehendak pelanggan.”
Bagi Ujian Mikrobiologi (Rutin), piagam menyatakan ia memerlukan 14 hari.  
Itu bagi cawangan di Ipoh. Tentu sekali Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, jika tidak menyamai tempoh itu, sekurang-kurangnya memiliki kecekapan dan ‘cepat serta tepat sehingga boleh dipercayai’ dalam tempoh yang sama bukan?
Maka, apakah maksud Ketua Pengarah Kesihatan ini ia mengambil masa melebihi piagam pelanggan cawangan mereka sendiri di Ipoh? Atau piagam kadangkala hanya sekadar hiasan di dinding dan di laman web? Ini perlukan jawapan beliau.
Lama sungguh verifikasi dan pengesahan maklumat. 27 Februari hingga 21 Mei. 
Mengikut pengalaman saya yang pernah menghantar sampel ke sebuah makmal swasta, ia memerlukan tak lebih 14 hari untuk mendapatkan analisa porcine. 
Mengapa terlalu lama hingga berbeza daripada piagam pelanggan mereka sendiri? Adakah piagam pelanggan Ipoh ini dibuat sendiri tanpa merujuk kepada MKAK sendiri?
Atau sebenarnya Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan tak pernah tahu mengenai piagam ini? 
Sambil beliau menyatakan tempoh hampir tiga bulan itu, langsung tidak disentuh ialah mengenai akreditasi SAMM malah kenyataan pagi tadi itu boleh difahami bahawa Kementerian Kesihatan tak perlu mematuhi standard makmal yang ditetapkan?
Kira-kira tiga jam lalu pula, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan kenyataan susulan melalui laman facebook mereka:

Ia memetik status Ketua Pengarah Jakim, Dato’ Haji Othman Mustapha yang menyebut satu mesyuarat akan diadakan esok.
Mesyuarat akan melibatkan Jakim, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Standard Malaysia (yang mengeluarkan akreditasi SAMM) dan Jabatan Kimia Malaysia.
Pada pandangan saya, tidakkah mesyuarat diadakan terlebih dahulu. Mungkin selepas 21 Mei seperti didakwa Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, keputusan analisa diterima? 
Sepatutnya, pada pandangan saya, mesyuarat ini diadakan terlebih dahulu sebelum sesiapa pun tak kira dari kementerian mahupun agensi mana sekalipun mengeluarkan kenyataan.
Dalam kenyataan Ketua Pengarah Jakim itu turut disebut:
“Sehubungan dengan itu, Jakim memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas terhadap isu ini bagi mengelakkan keresahan awam.”
Saya setuju. Saya juga perlu membaca perenggan ini satu sindiran sinis kepada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia. 
Apatah lagi, sebaran analisa tanpa akreditasi SAMM itu datangnya dari anak buah Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan sendiri sehingga timbul keresahan awam. 
Tanpa akreditasi, standard analisa boleh dipersoalkan. Adakah Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan akan berkompromi dan menerima analisa itu sebagai sah? Dan lanjutan dari kenyataan terkini beliau, timbul pula persoalan mengenai piagam mereka sendiri.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan perlu menjelaskan persoalan piagam, akreditasi serta bagaimana kebocoran analisa yang tidak mematuhi standard tersebar di laman sosial. Jawab persoalan itu, demi kepentingan awam supaya tidak diperlekehkan kelak akan kredibiliti.
Jika analisa tanpa pematuhan standard SAMM, tidakkah ini bertentangan dengan pelbagai syarat ketat pengeluaran sijil halal itu sendiri demi kepentingan ummah? 
Kedua-dua adalah agensi kerajaan. Saya pelik mengapa tiada penyelarasan antara keduanya walhal Kementerian Kesihatan juga mempunyai keahlian dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal.              
Kami menanti apakah keputusan mesyuarat esok (Isnin), demi kepentingan awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *