#932: ADAKAH INI KESUDAHAN PUSAT TAHFIZ AMAL YAN KEDAH?

#932: ADAKAH INI KESUDAHAN PUSAT TAHFIZ AMAL YAN KEDAH?

“… I appeal to you that you stop people from using children as bonded
laborers because the children need to use a pen rather than the
instruments of child labor.” 
Itu kata-kata terlahir dari Iqbal Masih, seorang kanak-kanak Pakistan yang dipaksa menjadi buruh ketika berusia empat tahun. Selepas dibebaskan ketika berusia 10 tahun, Iqbal menjadi seorang aktivis menentang perhambaan kanak-kanak. 
Bagaimanapun, Iqbal dibunuh pada 16 April, 1995 ketika usianya 12 tahun.
Foto milik moralheroes.org / Photo owned by moralheroes.org
Eksploitasi kanak-kanak bukanlah kisah baru dalam masyarakat kita. Kisah kanak-kanak dibiarkan di jalanan berjaja berjualan sudah diungkap berulang kali. Didedah beratus kali. Dibongkar sehingga kita semua muak dengan kelemahan (atau membutakan mata) pihak bertanggungjawab untuk membanteras kegiatan eksploitasi kanak-kanak di depan mata kita semua.
Tentunya, jika Iqbal masih hidup, tentu dia akan sedih malah marah, usahanya untuk membanteras perhambaan kanak-kanak masih berlaku di negara Malaysia.
Semangatnya begitu kuat bagi membebaskan kanak-kanak dari diperhambakan golongan tidak bertanggungjawab seperti S.M Amin yang terus menerus dibenarkan mengeksploitasikan kanak-kanak di Malaysia. Bukan sehari. Bukan sebulan dua. Bukan.
Mungkin masih ada yang tidak mengetahui siapakah S.M Amin. 
Baca di blog Mazidul Akmal Sidik di capaian berikut: 
Kami berdua antara yang berusaha sejak 2007 lagi mahu melihat Pusat Tahfiz Amal di Yan, Kedah ini ditutup sepenuhnya manakala rangkaian penipuan S.M Amin dilumpuhkan terus. 
Pelbagai usaha dilakukan antaranya, ketika Mazidul Akmal menerbitkan program 360, kami pernah memaparkan termasuklah, temuramah dengan kanak-kanak yang dieksploitasi dan keadaan uzur Pusat Tahfiz Amal serta janji Jabatan Agama Islam Kedah ketika itu untuk bertindak terhadap Pusat Tahfiz Amal.
Namun, janji hanya tinggal janji. Lihat apa yang ditulis Mazidul di blognya termasuk arahan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir untuk menutup pusat penipuan itu.
Kami sudah buat, pelbagai media perdana dan laman sosial turut mengungkap pelbagai persoalan, mengapa ia terus dibenarkan di negara kita sendiri yang sudah berkali kali dilafazkan pemimpinnya, Islam itu agama rasmi namun masih dibenarkan individu seperti SM Amin menggunakan nama pusat tahfiz sebagai tempat mengumpul kekayaan dan berjoli dengan mengerah kederat kanak-kanak.

Ini catatan dari blog Mazidul pada 7 Mac 2010. Empat tahun lalu.

Untuk
rekod, pada Januari 2007, Jabatan Agama Islam Kedah, JAIK mengarahkan
pusat tahfiz itu ditutup kerana memaksa pelajar menjual barangan (baca:
mengeksploitasi kanak-kanak) di pelbagai lokasi. Namun selepas 3 tahun
pusat tahfiz tebabit masih beroperasi sehingga ke saat ini.

Kebanyakan
daripada pelajar dikatakan anak yatim atau anak golongan miskin. Saya
melihat kegiatan mereka menjual barangan secara terbuka selama ini
menghasilkan suasana menang-menang. Pelajar berpeluang untuk belajar
manakala pihak sekolah mampu beroperasi dibiayai dana dikumpul pelajar.
Dilaporkan, pusat tahfiz itu tidak mendapat bantuan kewangan pihak
kerajaan.

Pun
begitu ada pihak berhujah, apakah kaedah diguna pusat tahfiz mengajar
pelajar terbabit jika purata 3 hari seminggu mereka berada
jauh dari lokasi pembelajaran? Pusat tahfiz di Kedah, mereka membuat
‘jualan amal’ di Damansara, Petaling Jaya, Selangor, contohnya. Namun
majoriti pelajar ditemui mendakwa melakukan jualan terbabit secara
sukarela dan kegiatan itu diketahui keluarga.
Itu kisah 2010. Lagi yang ditulis Mazidul:
Terbaharu,
Jam 6.20 petang tadi saya menghubungi Ketua Penolong Pengarah Bahagian
Pelajaran Majlis Agama Islam Kedah, MAIK Sheikh Ismi Anuar.

“Baharu-baharu ini Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM Kedah mengadakan
perjumpaan dengan pihak sekolah. JKM boleh melaksanakan tindakan kerana
pusat terbabit mengeksplotasi kanak-kanak. Tengoklah mungkin MAIK akan
dipanggil berbincang sekali,” ujar beliau.

AKTA KANAK-KANAK 2001
 
Jika diteliti pada Seksyen 17 (1), Seseorang kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan jika:

(k) kanak-kanak itu dibenarkan berada di mana-mana jalan, premis atau tempat bagi maksud—
(i) mengemis atau menerima sedekah, sama ada atau tidak dengan dalih
menyanyi, bermain, membuat persembahan atau menawarkan apa-apa jua untuk
jualan.

Lihat itu. Sudah ada peruntukan jelas mengenainya. 

Dan lihat pula Seksyen 32 akta yang sama seperti berikut:

32. Mana-mana orang yang menyebabkan atau mengakibatkan mana-mana
kanak-kanak atau, sebagai seorang yang mempunyai  pemeliharaan seseorang
kanak-kanak, membenarkan kanak-kanak itu berada di mana-mana jalan,
premis atau tempat bagi maksud:

(a) mengemis, menerima sedekah, sama ada atau tidak dengan dalih
menyanyi, bermain, membuat persembahan atau menawarkan apa-apa jua untuk
jualan; atau

(b) menjalankan penjajaan yang menyalahi undang-undang, loteri haram,
perjudian atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang yang
memudaratkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak itu,

melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak
melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak
melebihi dua tahun atau kedua-duanya.


Kita mahu lihat, sebaik Pusat Tahfiz Amal di Yan Kedah itu ditutup, apakah pula tindakan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat? Adakah Menteri bertanggungjawab akan berkata ini kerja polis?
 

Tindakan susulan perlu dilakukan kerana biarpun Pusat Tahfiz Amal di Yan Kedah sudah ditutup, ia masih mampu menjalankan kutipan/jualan di seluruh negara tanpa perlu ada pusat tahfiz itu. 
Struktur rangkaian penggerak SM Amin sangat luas di seluruh negara.

 
Mereka digelar ‘Ustaz’ oleh kanak-kanak yang dihantar berjaja di jalanan, di restoran, di stesen minyak dan di depan bank walhal ‘ustaz’ ini adalah hamba kepada SM Amin untuk menggerakkan kutipan “kalau tak beli tak apa pakcik, derma untuk anak yatim.”

 
Mereka berada di mana-mana sahaja. Ini jelas menunjukkan penggerak atau ejen kepada SM Amin dan bertindak sebagai ‘ustaz’ kepada kanak-kanak ini sangat ramai dan pastinya, mereka turut mendapat habuan masing-masing.

 
Dalam bahasa Arab, ustaz bermaksud guru. Pada kefahaman masyarakat kita pula, ustaz adalah individu yang mengajar pelbagai ilmu Islam dan dipandang tinggi bukan sahaja dalam masyarakat kita malah bukan Islam. Ia sebagai sumber rujukan kepada kita. 

 
Tetapi dalam hal Pusat Tahfiz Amal Yan Kedah ini, mereka bertindak sebagai penjaga, penyelaras ke manakah lokasi ditinggalkan kanak-kanak ini dan dibekalkan kepada mereka wang tak seberapa sebagai duit makan.
PEMBONGKARAN

 
Pada tahun 2007, ketika kami membongkar kisah eksploitasi ini melalui program ‘360’ terbitan TV3, saya bersama jurukamera terserempak dengan kumpulan kanak-kanak dari Pusat Tahfiz Amal Yan Kedah ini berusia antara 12 hingga 15 tahun kira-kira jam 10 malam di Hentian Rehat dan Rawat Machap Johor.

Mereka mengakui, menerima wang RM5 sahaja sehari untuk menjual herba, kalendar kepada pengguna R&R Machap itu bagi menampung keperluan mereka untuk sarapan, makan tengahari dan makan malam.

 
RM5 sahaja. Apa yang boleh anda makan dengan wang sebanyak itu?

 
Malah, seorang pekerja di gerai makan di R&R itu turut berkongsi kisah dengan kami, kanak-kanak itu hanya makan sebiji pau dan air kosong, tak kira pagi mahupun malam. 

Prof. Madya Siti Zaharah Jamaluddin dari Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya dalam tulisannya,
“Akta Kanak-Kanak 2001 : Implikasi Terhadap Pekerja Kanak-Kanak dan
Orang Muda” (2002), … “Usaha menghapuskan buruh kanak-kanak mestilah
menjadi agenda negara pada masa hadapan, lebih-lebih lagi dalam usaha
kita mencapai status sebagai sebuah negara maju.”

“Keberkesanan
penguatkuasaan peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 juga akan mengurangkan
jumlah golongan ini dalam pasaran buruh. 

Bekerja sebagai penjaja, sama
ada untuk upah atau membantu keluarga serta bekerja di tempat-tempat
tertentu tidak lagi kelihatan menarik kerana kanak-kanak boleh
dipindahkan daripada jagaan ibu bapa dan ibu bapa juga boleh dikenakan
tindakan undang-undang. 

Selain itu, sudah masanya Akta (Pekerjaan)
Kanak-Kanak dan Orang Muda 1966 (Akta 350) dikaji semula bagi melihat
sama ada peruntukannya dipinda untuk menyesuaikannya dengan keadaan
semasa.”

 

Adakah sudah terlaksana sebagaimana dihasratkan Prof Madya Siti Zaharah dalam tulisannya pada 2002 iaitu 12 tahun lalu? 

 
Adakah kita membutakan mata untuk tidak menjadikan ia agenda utama negara dek kerana kanak-kanak ini mahupun ibubapa mereka tidak memiliki satu keajaiban membantu masa depan politik pemimpin sehingga membolehkan mereka didesak untuk bertindak mengikut amanah yang sudah diberikan?

 
Kita ungkap sedikit bagaimana derasnya tindakan pelbagai pihak apabila seorang kanak-kanak India didakwa makan di dalam tandas. Kita lihat itu. Kita lihat betapa resahnya pelbagai pihak. Betapa tak lena tidur mereka dihentam kiri dan kanan hingga melatah. 
Tindakan yang diambil begitu pantas sehingga kita melihat ia satu magik. Itu satu keajaiban di Malaysia.

 
Adakah kita dianggap rasis jika anak Melayu sendiri yang dihantar ke Pusat Tahfiz Amal di Yan Kedah itu kerana mahu belajar kalam Allah SWT dieksploitasikan dan kita marah kerana tiada siapa peduli akan mereka?
Dan secara terang-terang mereka tidak diberi perlindungan oleh undang-undang yang sudah sedia termaktub dengan jelas dalam Akta Kanak-Kanak 2001 ini?

 
Bukankah kita berkali-kali mendengar Islam itu agama rasmi Malaysia? Bukankah itu terucap dari bibir pemimpin sendiri? Atau kita tersalah dengar?

 
Iqbal Masih. Ingat nama itu. Dia hanya berusia 10 tahun ketika mula menjadi aktivis kanak-kanak dan diberi pengiktirafan antarabangsa. Kanak-kanak ini boleh dianggap belum dewasa ketika memperjuangkan hak kanak-kanak. Bukankah pemimpin kita semua dewasa? 
Atau kita mungkin tersilap? 

 
Adakah kita mahu menunggu seorang lagi Iqbal lahir ke dunia ini untuk kita bertindak? 
Atau adakah kita mahu menunggu sehingga seorang kanak-kanak berbangsa India atau Cina diperhambakan Pusat Tahfiz Amal di Yan Kedah ini, barulah kita dapat melihat kerajaan bertindak? Mungkin saya silap, tetapi dari apa yang kita lihat, mungkin itu jalan penyelesaiannya. Mungkin. 

 
Tindakan komprehensif perlu dilakukan. Siapakah dalang? Kita sudah tahu. Kita tak mahu lagi mendengar alasan seperti ‘kita mahu laporan dari anda, kita buat slow and steady’ dari pihak menteri mahupun mereka yang sudah diberikan tanggungjawab. 
TINDAKAN KOLEKTIF
 
Tindakan secara kolektif atau secara bersepadu antara agensi juga perlu. Jika ada ruang untuk melaksanakan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Imigran 2007, sila lakukan. 
Rujuk kembali kepada peruntukan undang-undang yang sedia ada dan buatlah kerja. 

 
Malah, jika kita lihat, selain dua peruntukan undang-undang itu, buat saya yang naif tentang undang-undang ini boleh melihat beberapa lagi peruntukan undang-undang yang boleh dikuatkuasakan iaitu, kelulusan kementerian kesihatan terhadap penjualan minyak magik SM Amin yang tidak diiktiraf; pungutan derma tanpa kebenaran Jabatan Agama Islam negeri dan polis.
Apakah agaknya rumusan tradisional SM Amin mengeluarkan produk ini? Adakah dia perlu menyanyi ketika mengacau resipi minyak ini?
 

Kita mahu, sederas mana menteri membuat sidang akhbar “.. kami akan mematuhi konvensyen Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu..” terhadap kes kanak-kanak kita nun jauh di Sweden sana, begitu juga derasnya mereka perlu ambil tindakan mengikut konvensyen PBB Mengenai Hak Kanak-Kanak terhadap kanak-kanak yang dieksploitasi nun di depan mata.
Kita gembira betapa efektifnya menteri memberi kenyataan tentang kanak-kanak kita yang jauh di sana. Kita jangkakan, menteri juga efektif di negara sendiri.
 

Adakah kita akan melihat perkembangan terbaru bagi menghentikan Pusat Tahfiz Amal di Yan Kedah yang memiliki rangkaian di seluruh negara ini akan menjadi satu polemik politik sahaja? 

 
Adakah kita akan mendengar, menteri yang diberi tangggungjawab melatah? Adakah kita akan mendengar menteri diberi amanah dan akan ditanya di Padang Mahsyar nanti, akan bertanggungjawab terhadap eksploitasi ini? 

 
Selagi tiada kesungguhan politik (political will) dari mana-mana pihak untuk melaksanakan pembanterasan secara total, selagi itulah, kisah ini akan berterusan berlegar di pelbagai media, laman sosial dan dalam minda kita sehingga kita diturunkan ke liang lahad kerana tiada noktah.

 
Manakala SM Amin pula, kita pasti akan terus bergembira bernyanyi dengan kemewahan dikecapi dari “.. minyak urut pakcik, kalau tak beli tak apa, derma untuk anak yatim..” di seluruh negara, selagi tiada tindakan susulan dibuat.


Jika anda tahu emel pihak berwajib, kongsikan entri ini. Biar mereka membaca. Jangan terlalu yakin kepada mereka untuk bertindak, tetapi yakinlah kepada Allah SWT dan nukilkan sedikit pesanan: mudahan jika disoal nanti, kita sudah laksanakan amanah dan tanggungjawab kita. 
Kongsikan.
 

2 Replies to “#932: ADAKAH INI KESUDAHAN PUSAT TAHFIZ AMAL YAN KEDAH?”

  1. Saya memang menantikan entry daripada saudara hazrey.memang terbaik dan sinis.kalau pihak tertentu masih tak mahu membuka mata dan bertindak bermakna hati dan minda merekalah yang buta.sama-sama lah kita berdoa semoga anak-anak yang diekploitasi itu mendapat pembelaan yang sewajarnya dan diberi peluang menuntut ilmu melalui saluran yang betul.sangat kecewa kerana perkara sebegini telah dibiarkan terlalu lama hanya kerana mereka golongan yang tidak berdaya dan tidak berkepentinggan terhadap pemimpin politik.rasa amat sebak membacanya…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *