#929: PUNCA KEMATIAN ANAK TUN HANIFF MASIH DISIASAT.

#929: PUNCA KEMATIAN ANAK TUN HANIFF MASIH DISIASAT.

Menjelang pagi 10 Disember lalu, keluarga bekas Ketua Polis Negara keempat, Tun Mohamed Haniff Omar menerima satu berita mengejutkan mereka. Ahli keluarga mereka, Ahmad Jamal Omar, 40, dikatakan terjatuh dalam longkang yang turut meragut nyawa anak bongsu dari empat adik beradik itu.

 

 Foto dari instagram abang Allahyarham. Diguna dengan keizinan pemiliknya.

Berita pemergian Allahyarham yang dikenali sebagai ‘Ajo’ di kalangan kenalan rapatnya, turut mengejutkan mereka.
Mengikut laporan media, Allahyarham dikatakan maut selepas dikatakan terjatuh ke dalam longkang kira-kira jam 4.20 pagi di Jalan Catur 11/1C, Seksyen 11, Shah Alam, Selangor. 
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara hari yang sama.
Polis mengklasifikasikan kematian Allahyarham sebagai kematian mengejut atau SDR (Sudden Death Report) sebagaimana kenyataan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob.
Berikut adalah laporan disiarkan Kosmo:
“Kejadian pada pukul 4.20 pagi itu berlaku selepas Ahmad Jamal Omar, 40, menghantar kawannya yang tinggal di kawasan berkenaan.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata,
sebaik melihat Ahmad Jamal terjatuh berhampiran keretanya jenis Honda
Accord, rakan lelaki itu yang sudah memasuki kawasan rumah bergegas
keluar dan menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan.”
Di kalangan kenalan rapatnya, ada yang dikatakan masih ragu dengan punca kematian Allahyarham malah banyak persoalan ditimbulkan yang masih belum terjawab.
Antaranya, ketika kejadian, talian kecemasan yang dikatakan dihubungi rakan Allahyarham adalah pihak bomba dan bukannya ambulans. 
Persoalan persoalan lain seperti bagaimana Allahyarham boleh terjatuh, kenapa kenderaannya diberhentikan agak jauh dari rumah kawannya juga masih menimbulkan kemusykilan.
 
Kelmarin, saya sempat menghubungi Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar yang saya kenali ketika beliau menjawat jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (OCCI) Johor sebelum ini. 
Beliau juga pernah ditugaskan di Pulau Pinang sebagai Timbalan Ketua Polis negeri itu.
“Saya sahkan kami (pihak polis) masih lagi meneruskan siasatan terhadap punca kematian Allahyarham dan kes masih belum ditutup selagi siasatan belum selesai,” katanya dalam perbualan melalui telefon.
Datuk Abdul Rahim berkata biarpun kematian masih lagi diklasifikasikan sebagai SDR, ia tidak menghalang pihak polis untuk meneruskan siasatan bagi menentukan punca sebenar kematian Allahyarham.
Siasatan polis bukanlah sesuatu yang luarbiasa kerana sesuatu kematian itu akan turut melibatkan pelbagai pakar termasuk patologi, forensik dan sebagainya.
Ia juga lazim bagi pihak berkuasa, berpandukan laporan awal bedah siasat, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sebelum mungkin bertukar status berikutan pelbagai bukti-bukti baru diperolehi. 
Apabila laporan lebih teliti dan lengkap, kes sama mungkin diklasifikasikan mengikut seksyen berlainan seperti contoh Seksyen 302, Kanun Keseksaan iaitu bunuh atau Seksyen 304, membunuh tanpa niat.
There is no such thing as perfect crime.
Hanya laporan lengkap sahaja dapat memuktamadkan sesuatu kes kematian mengejut sama ada terdapat foul play atau sebaliknya. 
Berdasarkan pengalaman saya, pihak polis tidak akan terburu-buru bagi membolehkan semua aspek dapat disiasat.
“Ya, kita akan siasat dari semua aspek,” kata Datuk Abdul Rahim lagi dalam perbualan itu.
Seorang pegawai penyiasat kanan berpangkat Asisten Superintenden kini mengendalikan siasatan kes ini. 
“Beberapa individu sudah dipanggil bagi membantu siasatan di ibupejabat polis daerah Shah Alam,’ jelas beliau lagi.
Menafikan klasifikasi kes kematian mengejut sudah berubah, beliau bagaimanapun berkata, polis akan merujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwaraya jika terdapat bukti baru ditemui.
Orang ramai, katanya, digesa tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai. 
Difahamkan, setakat ini, lima termasuk dua wanita dikatakan sudah dipanggil memberi keterangan. 
Telefon bimbit milik Allahyarham serta beberapa individu lain turut diserah kepada polis untuk membantu siasatan.
Berlandaskan kepakaran pelbagai agensi serta PDRM sendiri, saya yakin kes ini dapat dimuktamadkan segera bagi kita memperolehi jawapan yang dicari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *