#917: KENAPA FOTO PESALAH KANAK-KANAK TIDAK DIBENARKAN DISIAR?

#917: KENAPA FOTO PESALAH KANAK-KANAK TIDAK DIBENARKAN DISIAR?

Ghairah. 
Awal malam semalam aku menerima dua emel berkongsi kebimbangan terhadap keghairahan seorang pengguna media sosial Facebook yang secara terang-terang melanggar Seksyen 15(1) Akta 611, Akta Kanak-Kanak 2001 di mana disiarkan foto pesalah kanak-kanak malah tindakannya turut melampaui batas apabila turut menyiarkan ringkasan kes yang lazimnya dihantar Pegawai Penyiasat kepada Ketua Polis atau pegawai atasan PDRM. 

Kedua-dua emel ini dihantar menyatakan kebimbangan dan persoalan mengapa capaian ke akaun milik Akhi Zakaria Al Haj ini secara terang terang menyiarkan foto pesalah kanak-kanak yang jelas bertentangan dengan peruntukan seksyen yang disebut tadi.
Berikut disiarkan semula apa yang diperolehi dari akaun facebook milik Akhi Zakaria Al Haj, dengan maklumat seperti nama kanak-kanak yang terlibat. Aku telah melakukan mosaic kepada maklumat serta wajah mereka bersandarkan Seksyen 15(1) Akta Kanak Kanak 2001 yang akan diperjelaskan lebih lanjut selepas ini. Di fb milik penama berkenaan, bagaimanapun, tiada usaha untuk melindungi identiti kanak-kanak malah pengguna itu turut menyiarkan semua nama orang disyaki serta pengadu dan ia adalah satu tindakan yang sangat membimbangkan.

Nota: kes ini berkaitan satu kes rogol yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Berdasarkan catatan masa pada laman sosial pengguna ini, status serta foto ini dimuatnaik kira-kira jam 7 malam semalam (Jumaat, 27 Sept 2013).

Klik untuk dibesarkan.


Aku sempat merujuk kepada seorang rakan yang juga pegawai polis dan beliau sendiri terkejut kerana apa yang disiarkan di laman facebook ini adalah ringkasan kes yang lazimnya dihantar pegawai penyiasat (IO) kepada Ketua Polis dan dalam kes ini, ia dihantar kepada Yang Dihormati Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (YDH KJSJ).
Di sini berkemungkinan berlaku kebocoran makluman ringkasan kes dan aku sendiri sudahpun menghantar link facebook yang sama kepada seorang rakan di ibupejabat PDRM untuk tindakan susulan.
Pihak polis seharusnya membuat satu laporan polis agar tindakan dapat dibuat secepat mungkin sebagai precedence agar masyarakat yang ‘menerima’ ringkasan kes seperti ini tidak ghairah memuatnaik ke laman sosial yang secara jelas melanggar Seksyen 15(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Tindakan tatatertib juga perlu diambil terhadap mana-mana anggota mahupun pegawai polis yang secara terang menyalurkan maklumat seumpama ini kepada orang tidak bertanggungjawab yang secara ghairah mendedahkan identiti kanak-kanak biarpun mereka adalah orang disyaki.
Aku rasa ini bukan kali pertama ringkasan kes seumpama ini dimuatnaik orang awam sebagaimana yang pernah aku nampak sewaktu kes Lahad Datu dan Semporna di mana ada pihak tidak bertanggungjawab sudah menyiarkan nama anggota yang terkorban sebelum sempat pihak berkuasa memaklumkan kepada pihak keluarga atau waris mangsa. 


Akta Kanak-Kanak 2001 secara jelas memperincikan definisi kanak-kanak iaitu seseorang di bawah umur lapan belas tahun. 

Baca dengan teliti apa yang diperincikan. 
Kita tidaklah buta huruf dan kita janganlah ghairah semata mahu dilihat sebagai hero dan kononnya paling awal melaporkan ‘berita’ walhal secara jelas bertentangan dengan undang-undang. Adakah kita memberi alasan kita ‘tidak tahu’? Sebagai seorang yang matang dan boleh membaca, seharusnya kita perlu berhati-hati agar apa jua tindakan kita tidak memakan diri. 
Dan secara jelas, akta yang sama memperincikan, ‘tidak boleh disiarkan dalam apa-apa akhbar atau majalah atau disampaikan melalui apa apa perantara elektronik.’
Mengikut Seksyen 15(4) akta yang sama, ia memperjelaskan:
Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) atau (2) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Sekali lagi, aku harap pihak polis dapat membuat siasatan terperinci serta mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada serta menyiasat bagaimana dan dari siapa ringkasan kes diperolehi sehingga orang awam dapat memuatnaik status lengkap seperti itu. 
Dan juga, perlulah satu siasatan dilakukan siapakah yang mengambil foto kanak-kanak berkenaan dari dalam van sehingga ia disebarkan begitu rupa. Mungkin sudah tiba masanya pihak PDRM melihat semula SOP termasuk mengawal penggunaan telefon pintar ketika melakukan pemindahan orang disyaki dengan kenderaan.
Dalam pada itu, aku harap anda semua tak ghairah semata-mata mahu popular mahupun dek ketaksuban kecederungan politik anda. Apa jua alasan anda, ia langsung tiada justifikasi terhadap tindakan anda kerana tanpa undang-undang, eloklah kita menjadi haiwan sahaja.

3 Replies to “#917: KENAPA FOTO PESALAH KANAK-KANAK TIDAK DIBENARKAN DISIAR?”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *