#916: GENG ROGOL.

#916: GENG ROGOL.


Tempohari, aku ada post di twitter mengenai seorang remaja berusia 18 tahun dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa merogol seorang pelajar tingkatan dua.
Remaja 18 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hassan Abdul Ghani di Mahkamah Sesyen Johor Bahru., 28 Ogos lalu.
Mengikut fakta kes yang turut dikemukakan sebagai bukti kes, remaja itu baru dua hari berkenalan di aplikasi WeChat dengan mangsa.
Dia kemudian didakwa bertemu dengan gadis itu sebelum merogol mangsa di tangga pangsapuri Persiaran Tanjung, Tampoi Johor Bahru, Johor.
Dia berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan kerana merogol gadis bawah umur jika sabit kesalahan.
Siang tadi pula, empat sekawan termasuk seorang remaja 16 tahun keciciran sekolah berkiblatkan nafsu menjadi geng rogol menjadikan seorang remaja 14 tahun sebagai mangsa.
Keempat-empat mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan secara berasingan dibacakan di depan Hakim Hassan Abdul Ghani.
“Kenapa kamu merogol. Sedap 5 minit sahaja, hukumannya bertahun tahun dalam penjara,” tegas hakim sebelum menjatuhkan hukuman.
Tertuduh, Khairul Akmal Zainol Abidin, 21 tahun; Muhammad Zulfikar Abdullah, 19 tahun, Mohamad Faizal Mohd Sazali, 20 tahun serta seorang remaja berusia 16 tahun.
Mengikut fakta kes, kira-kira jam 12.30 malam, 8 September lalu, mangsa keluar dari rumah berjumpa Mohamad Faizal (tertuduh ketiga) bersama tiga lagi tertuduh menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira.
Mohamad Faizal memandu kenderaannya ke sebuah rumah papan berdekatan kilang Kenwood dan berhenti di rumah tertuduh kedua, Muhammad Zulfikar.
“OKT Ketiga menyatakan dia hendak singgah mengecas bateri telefon bimbit dan mereka semua kemudian masuk ke dalam rumah,’ fakta yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Sebaik memasuki rumah, tertuduh cuba meraba mangsa namun gadis itu berjaya mengelak. Namun akibat ketakutan, tertuduh secara paksa berjaya menanggalkan pakaian gadis itu.
Tertuduh keempat iaitu remaja berusia 16 tahun, menjadi penjenayah pertama merogol mangsa di depan rakannya sebelum diikuti tertuduh kedua, Muhammad Zulfikar. 
Ketika dirogol remaja 16 tahun itu, tertuduh pertama, Khairul Akmal Zainol Abidin didakwa memasukkan kemaluannya ke dalam mulut mangsa secara paksa.
Manakala tertuduh ketiga, Mohamad Faizal didakwa mencabul kehormatan mangsa dengan meramas buah dada gadis itu.
Selepas mendengar rayuan tertuduh, hakim menjatuhkan hukuman berikut:
Tertuduh pertama (memasukkan kemaluan ke dalam mulut mangsa),  Khairul Akmal Zainol Abidin, 21 tahun, dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan.
Tertuduh kedua, Muhammad Zulfikar Abdullah, 19 tahun diperintah menjalani hukuman penjara enam tahun dan dikenakan dua sebatan.
Tertuduh ketiga, Mohamad Faizal Mohd Sazali, 20 tahun yang mencabul kehormatan mangsa pula, dikenakan hukuman penjara 20 bulan.
Hukuman terhadap remaja 16 tahun ditangguhkan sementara menunggu laporan akhlak yang akan disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Hakim menetapkan 30 September ini bagi hukuman terhadap remaja itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Mahadi Abdul Jumaat manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguambela. 
Galeri awam penuh dengan kehadiran ahli keluarga serta wakil media.

3 Replies to “#916: GENG ROGOL.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *