#877: PAKAIAN HARI RAYA.

#877: PAKAIAN HARI RAYA.

Best kan raya. Bukankah Ramadan itu lebih best? Adakah kita over apabila Ramadan yang sepatutnya disambut dengan lebih meriah berbanding Syawal? 
Syawal adalah kemenangan kita. Kemenangan kita melawan nafsu, melawan kehendak lapar dan dahaga, menahan diri kita dari berbohong sama ada pada kawan mahupun media, menahan diri kita dari memutarbelikan cerita bagi menagih simpati bagai si pengemis Myanmar di gerai makan.
Banyak hikmah Ramadan ni. Tapi adakalanya kita tak sedar. Kita cuma sedar apa yang kita mahu cakap biarpun kita sendiri tahu kita berbohong. Bak kata orang, alah bisa tegal biasa. Mungkin sudah lali berbohong maka apa salahnya berbohong berkali-kali. Tak luak mungkin. Apatah lagi yang mendengarnya disangka tak berakal.
Sikap kita juga pakaian kita. Itulah cara orang menilai kita. Sama seperti pakaian kita, jika ada yang lompang mahupun tercahang di sini sana, orang akan melihat kita terpinggir dari kelaziman. Kita akan diperhati, kita akan disimpati.
Begitu juga sikap kita. Jika ia lompang, pasti orang melihat dan menilai. Namun sama seperti kain yang menutup tubuh kita, jika ia lompang, pasti boleh ditampal agar yang tercahang itu terlitup. 
Kita jahitkan perca kain untuk menutup. Sama seperti sikap kita, kita jahitkan keinsafan untuk menutup kelompangan pada sikap kita.
Tapi adakalanya kita rasakan tubuh kita perlu dipapar pada mata yang mampu melihat. Kita merasakan itu satu keindahan perlu dikongsi. Kita merasakan kulit gebu itu perlu disingkap untuk dilihat sikit sikit, pantas pantas oleh orang lain.
Kita merasakan perlunya orang melihat betapa melepaknya peha serta betis kita.
Itu juga lompang. Itu juga cahang. 
Lompang yang dimahukan. Lompang yang diriakkan agar terlirik senyuman lebar di bibir pemakainya pabila dipuji mata mata musang, serigala dan buaya.
Syawal ini, pasti ramai si genit, si cantik, si comel dan si montel melaram dengan pakaian baru. Yelah, lama ditempah pada Kak Mai, lama ditempah pada Makcik Jah.  Jauh rumah mereka. Tapi dek kemasnya jahitan mereka, dek cantiknya pesen mereka, semuanya berbaloi.
“Kak Mai, belah kain ni biar sampai peha ya, nampak seksi sikit.”
“Makcik Jah, buat low cut sikit ya sebab takut panas masa layan tetamu nanti.”
Yelah, biarlah tersembul sikit timbulan pada dada. Biar tampak seksi. Kan Ramadan itu hari dah puas ditutup semua. Terawih pun tak pernah miss. Pak Imam sampai kenal I, mungkin itu bunyinya.
“Jangan nilai I pada pakaian I ok.”
Samalah juga kalau kita lafazkan: “Jangan nilai I pada sikap I.” 
Bukankah kedua dua itu pakaian kita?
Tak mungkin ada yang bertanya “seksinya kebaya kau Limah.” Oh nama Limah dipanggil jika pulang ke kampung, nun di pekan atau di bandar, dipanggilnya Im sahaja. “Senang sikit orang nak ingat, leceh panggil Limah, itu dah dua suku kata, kalau sms pun panjang, panggil I Im sahaja.”
Tak mungkin juga empunya mata serigala mahupun musang terkecil atau terkatup rapat. 
Kalau boleh, mahu sahaja duduk lama lama di rumah itu, untuk menjamu. Menjamu mata. Tak usah dihiraukan selera perut. Selera yang sudah ditahan 29 hari sudah cukup menjemput pahala, itu fatwa si pemilik mata serigala dan musang.
Mata pasti gembira. Yang dilihat hari hari bersawo matang. Adakalanya berambut halus halus. Sesekali nampak yang berbeda tona warna, apatah bak tepung pasti menggembirakan. Sama-sama gembira dengan si sahabat yang baru dilepaskan sebaik azan Maghrib 29 Ramadan lalu.
Sama-sama melonjak. Yang sudah ditahan-tahan dalam nurani sudah bisa dilepaskan.
“Tengok sekali rezeki, tengok dua kali dosa. Tengok sekali jangan toleh toleh,” kata abang misai yang terlupa songkok di atas kepala yang lazim tertenggek pabila ke masjid. Pasti terngilai tawanya tatkala mengeluarkan fatwa ala kerajaan langit itu.
“Alah, biarlah diaorang tengok. Bukan diaorang dapat pun.” 
Yelah, mana nak didapatnya kalau yang nengok tu si musang, si serigala, si buaya bersongkok, mirip pelakon hensem hanya pada bulu mata sahaja. 
Bulu mata takkkan gugur. Yang gugur pasti airliur. Yang dapatnya – kenyang. Kenyang sebab hidangan mata tak sangka sangka.
“Alah, orang lain pun pakai macam ni jugak. Lagipun kubur masing-masing kan.”
Yelah, kalau kubur dapat dikongsi kongsi, boleh dikongsi kongsi akan azabnya nanti. Boleh dijadikan peneman waktu malam. Boleh diajak berbual pabila 7 langkah berakhir sebaik talqin selesai. Takpun, boleh disuluhkan dengan lampu macam main pondok pondok.
Tapi eloklah begitu. Elok diberi sedikit tayangan premiere. Yelah, hidangan kuih pun dibeli. Entah apa rasanya. Kurang-kurang pun kalau tak serasi dengan si pemakannya, elok diberi juadah lain.
Juadah ni diingat sampai bila bila. Bila terserempak di kompleks shopping shopping. Bila terserempak tika menolak troli di hypermarket.
“Fuh, peha dia memang putih. Macam susu,” kata si musang sambil menghirup kuat. Bukan udara. Bukan air coca-cola, tapi airliurnya sendiri.
Kalau yang sikit coklat, mungkin dipujinya berkilat peha, kalau disiram air, meluncur air. Mungkin air tebu. Tentu tambah manis.
Tak apalah, ni kan Syawal. Ramadan dah habis. Dah habis maknanya dah habis jugaklah sifat tawaduk kita 29 hari itu. 
“Fuh, ngam ngam dah aku bertawaduk 29 hari.” Syukurlah. Mungkin itu lafaz kita di pagi raya sambil menyarung kain belah peha.
Elok jugaklah. Kami pun lama memandang ke pokok, ke dedaunan, ke mosaic lantai, mengelak nafsu membuak. “Kami sudah kembali !!” Jerit hati, berlonjakan dengan sahabat yang baru bebas dari reman selama 29 hari.
Biarlah kuih tak manis. Biarlah air fresh orange siap dengan payung kecil di bibir gelas tak manis. Biarlah ketupat, rendang, lemang kurang enak. Ada yang manis buat si pemilik mata. Berbugar agaknya mata si musang tu nanti. 
Apapun, hati-hati ya, musang suka pada ayam!
Dan sebelum dijadikan santapan, aku tutup mata dan ucapkan selamat hari raya maaf zahir dan batin. Kepada semua pembaca di blog tak seberapa ni, yang tak berfaedah ni, yang tak bermanfaat ni, yang diputarbelitkan orang. 
Kalau jumpa si musang, sampaikan salam. 
Kalau jumpa ayah dan ibu, sampaikan salam. Katakan Hazrey sampaikan salam, dan biarkan mereka terpinga pinga bertanya siapa Hazrey tu dan jawablah dengan senyuman dan mata mengerling “Ada lehhhh” lantas berlalu pergi, dan lemparkan rambut ke kiri dan ke kanan. 
“Boipren kau ke Along,” nanya si ibu pada Musalmah yang dipanggil Sis Sal di bandar.
Pepagi raya, katakan pada mereka maafkan sis sal eh maaf ibu, ampunkan segala dosa Along, segala kasar bahasa Along, halalkan segala makan dan minum Along, maafkan segala sikap Sis Sal eh salah, Along pada mak dan ayah. Apa yang mak dan ayah berikan pada Sis Sal, eh salah, pada Along tak dapat Sis Sal, eh salah lagi, Along balas. Hanya doa pada Allah sahaja yang mampu Sis Sal, eh tersasul lagi mak, Along panjatkan untuk sentiasa melindungi mak dan ayah dan sentiasa merahmati mak dan ayah.
Selamat Hari Raya pembaca sekelian. Biarlah makan ketupat banyak sampai kembung perut, asalkan jangan berketupat mulut mengumpat orang sampai berbuih mulut.
Maaf Zahir dan Batin.
 

11 Replies to “#877: PAKAIAN HARI RAYA.”

  1. pagi raya la waktu sesuai nak tonjolkan apa yang selama sebulan dijaga. almaklum, keindahan ciptaan tuhan tu patut dikongsi bersama…
    -bukan aku kata. haahaaa… salam ramadhan.

  2. as salam

    saya suka la entri ni. teringin gak nak mengomen sbb selalunya saya tumpang lalu je…boleh kan en hazrey.

    yer…budi bahasa pun pakaian kita gak. kadang2 bukan kata orang lain tapi saya sendiri pun tak sedar yg telunjuk tunjuk kat orang tapi 4 lagi jari menghala ke arah kita. saya pernah terkena begitu tapi saya maafkan dia dan mereka sbb saya tau mereka tak sempurna macam saya jugak yang ada je kekurangan di sana sini.

    senyum je dan sebelum tidur maafkan mereka. bukan nak kata baik sangat tapi belajar dari kehidupan.

    selamat hari raya
    (bilalah suami nak ajak balik jenguk ipar duai di jb ni emmm)

  3. Salam Syawal,

    Baru mengikuti blog ini , blog yg menarik dgn fakta2 tersendiri dan kerapkali mengembalikan kenangan zaman bebudak dulu…

    Dengan ingatan tulus ikhlas, terima kaseh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *