#865: LUMBA LARI TAK BOLEH NGELAT TAU !

#865: LUMBA LARI TAK BOLEH NGELAT TAU !

Hujung minggu lalu, aku bersama Mazidulakmal Sidik serta krew Majalah 3 bertandang ke Kampung Pasir Puteh, Pasir Gudang, Johor Bahru.
Ia adalah untuk rakaman salah satu segmen dokumentari itu mengenai persiapan Ramadan yang bakal menjengah Sabtu ini, Insyaallah.
Sememangnya aku sangat suka ke kampung. Di sini kita dapat melihat pelbagai gelagat anak kecil tanpa menggengam PSP, tangan telefon bimbit di tangan. Tak janggal buat mereka berkaki ayam bermain di atas padang tanpa rasa sakit terpijak kerikil kecil.
Anak kampung lasak. Kalau hujung minggu, sudah siap siap dalam benak mereka apa yang mahu dilakukan apatah lagi di Kampung Pasir Puteh ini, Ketua Kampungnya, Haji Bachok sangat prihatin dengan keperluan masyarakat termasuk memastikan – disediakan satu padang untuk kegunaan riadah semua.
Di padang inilah segalanya berlaku. Segalanya tererat. Segalanya dipahat menjadi memori pabila dewasa kelak.
“Rizal, kau ingat tak dulu kita main lumba lari, si Hasan main ngelat, dia lari dulu,” mungkin itu akan diucap 10 atau 20 tahun lagi diselangi gelak ketawa pabila kanak-kanak yang menjadikan padang berumput di kampung itu medan bersaing, siapa terpantas.
Itu memori yang tak boleh dijual beli. Itu memori yang tidak boleh diperolehi hanya sekadar menggenggam PSP di tangan.
Tak perlu pingat. Tak perlu kasut. Tak perlu tuala bersedia di tepi padang. Cukup lengan baju menyeka peluh nanti.
“A’ahlah si Hasan selalu ngelat, dia lari dulu. Dahlah kerek taknak pakai pampers lagi,” mungkin itu ayat disambut Halim, rakan Rizal.
Terpancar wajah mereka kegembiraan tak terhingga. Apatah lagi tika berlari mengejar. Mereka tak mengejar apa yang kita kejar. Mereka tak mengejar kebendaan. Mereka tak membanting tulang mengerah sepenuh kederat mengejar status kehebatan. Tidak. Mereka hanya mengejar kemenangan. Kemenangan tanpa sebarang hadiah kebendaan. Rasa bangga cukup bernilai buat kanak-kanak ini. Menang tanpa dijanji komputer riba. Tanpa blackberry terbaru. Tak perlu.
Dengan selipar disisipkan pada tapak tangan, kanak-kanak ini berlari bersungguh sungguh bagai mengejar bintang. Bintang di depan mereka adalah tempat pertama. Cukup.
Aku sempat menekan butang kamera mengabadikan detik detik itu. Tampak gembira kanak-kanak ini. Tanpa herut, tanpa kerut. Gelak mereka bagai penawar mata yang memandang. Indah pemandangan itu. Tak boleh dijual beli.
Gelagat anak-anak kecil terutama yang ‘mengelat’ mengundang ketawa kami dan aku sempat potretkan semua ini melalui lensa kecilku.
 Klik pada gambar untuk versi besar.

Lihatlah si kecil berbaju merah tu. Bukan main melenggang mak limah ya kau.

Di foto pertama, tampak betul ngelat dia.

Dia olok-olok berjalan kononnya nak pergi kedai agaknya.

Bukan main lenggang bang Atan tu tau.

Apapun, bagi mengaburi lawan, dia berpakaian kemas. Kaki baju tersisip kemas dalam seluar ok! Macam nak pergi interview kerja pun ada tu. Mengeyam betul !

“Itew ak akai pampers agi aww,” mungkin itu kata dia tika mula-mula mahu menyertai rakan yang lebih tua darinya. (Kita tak pakai pampers lagi tau).

Kecik kecik cili padi dia ni. Tubuh kecil tapi akal panjang. Walhal yang lain sibuk di garisan pemula, dia sudah melepasi lima enam kaki di depan. Dia pun tahu, lumba yang ini tak ada pengadil, tak ada hakim. Dia boleh ngelat sikit.

“Aloh, itew dak cik kan. Itew ari epan ahh ulu,” agaknya itu terucap kalau dikata mengelat.  (alah, kita budak kecik kan, kita larilah depan dulu).

Di foto ketiga, dia masih lagi berlenggang nak pergi kedai mak suruh beli santan nak buat bubur kacang durian petang nanti.

Pandai betul dia camouflage. Bijak betul. Yelah, dah pandai kencing sendiri kat tandas kan. Dah pandai cuci bird bird sendiri. Mestilah pandai.

Akhirnya, bila dah terdengar jeritan di belakang kuat, langsung hilang kisah dia nak pergi kedai beli santan, hilang kisah mak nak buat bubur kacang durian petang nanti. Pandai dia ni.  Rasa nak jentik bird bird dia. Akit ahhh acikkkk. Akit ahh. Akap kat mak.

Aku yakin, si kecil akal panjang pulang dengan senyuman melebar. Ngelat tak ngelat, dia tetap menang. Itu lebih penting. 
“Mak mak, itew enang umba ari tau!! Aju ashuk alam tak kuar pun tau,” mungkin itu luahan si kecil tu nanti pabila tiba di muka pintu rumah disambut mata ibunya yang besar sebab badan bau hari, dikepam peluh. Busuk.
Tapi itulah pengalaman yang mahu kita semua rasai.
Kalau ditanya, aku setuju kawasan perumahan perlu ada sekurang-kurangnya satu padang buat kanak-kanak membesar bersama rakan-rakan. Biar mereka bersosial dalam dunia mereka. Biar mereka merasai indahnya ada kawan yang akan tewas di padang, biar mereka merasai menjadi jaguh kampung. 
Biar mereka merasai luka di lengan, luka di lutut supaya mereka lebih lasak dan tak lembik akan lambaian mereka pabila mereka dewasa kelak. Biar mereka menangis diejek rakan sepermainan. Esok lusa datang balik. 
Yang kita si mak ayah, jangan campur, jangan berpihak. Biar mereka selesaikan sendiri. Tapi nasihatkan jangan sampai berkasar-kasaran. Gunakan keutuhan persahabatan selama ini untuk menyelesaikan akan sengketa. 
Satu perselisihan kecil tak boleh menutup segala kegembiraan bersama selama mereka membesar, ingatkan mereka itu.
Itu semua indah. Bukan bercucuk tanam di Facebook dari pagi sampai ke petang, petang sampai ke malam, malam menjengah subuh. Alahai, orang tua pun sekarang lebih banyak bercucuk tanam di Facebook. 
Sedih jika tiada padang. Sedih jika tak dapat lihat wajah anak-anak kecil berlari ke sana ke sini di laman berumput, bergelak ketawa, bergelumang lasak. Berlari pulang menangis kerana kalah berlari di padang sebab si atan kecik main ngelat. Tak sama menggunakan kederat dan duduk mengadap komputer mahupun PSP.
Apapun, kami sangat teruja untuk kembali semula ke Kampung Pasir Puteh, Pasir Gudang dek keramahan penduduk tak kira usia terutama Ketua Kampungnya, Haji Bachok. Orang tua ni memang aku kenali seorang yang ramah. Kadangkala kita terpaksa bergaduh dengan dia disebabkan setiap jam bersama dengan dia, mahu buncit perut dijamu makanan pelbagai !!
Mahu tak mahu, masam wajah dia kalau kita menolak. Padahnya? Perut mengelembung, kelopak mata bagai digam-gam !
Dan usaha Haji Bachok mengekalkan padang ini harus diberi pujian. Aku gembira melihat kanak-kanak itu. Isteriku pun tika aku sibuk membelek setiap petikan lensa, turut tergelak melihat airmuka kanak-kanak itu semua. Kalau ditenung betul betul, kita akan rasa bahagianya mereka. 
Apapun, lihatlah foto tu semua, dan bak kata blog gosip – enjoice !!

4 Replies to “#865: LUMBA LARI TAK BOLEH NGELAT TAU !”

  1. budak-budak kat tempat saya mengajar pun macam ni..
    seronok jugak layan kadang-kadang..tapi seronok lagi melayan kanak-kanak di kampung sendiri

    *kenapalah saya susah sangat nak dapat transfer Johor

  2. "…Lihatlah si kecil berbaju merah tu. Bukan main melenggang mak limah ya kau…"

    the 1st thing tengok pun terfikir ayat yg sama utk budak baju merah siap tuck-in tu… hehehehe!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *