#842: GRO 40 TAHUN GUNA VISA PELAJAR SEBUAH ‘INSTITUT KULINARI’ DICEKUP.

#842: GRO 40 TAHUN GUNA VISA PELAJAR SEBUAH ‘INSTITUT KULINARI’ DICEKUP.

Helah seorang wanita warga China menggunakan visa pelajar dari sebuah institut kulinari namun bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Pelanggan gagal mengaburi sepasukan polis Cawangan Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7), Ibupejabat Polis Kontinjen Johor lewat malam semalam.
Malah, visa didapati sah hingga Oktober tahun ini dikeluarkan sebuah institut kulinari di Selangor untuk wanita berusia berusia 40 tahun namun siasatan menunjukkan dia bekerja sebagai GRO di sebuah pusat hiburan di Taman Melodies, Johor Bahru.
Wanita itu antara yang ditahan dalam satu serbuan D7 kira-kira jam 11.30 malam semalam.
Ketika serbuan, GRO terbabit sedang leka melayan kira-kira 50 pengunjung pusat hiburan ini tanpa menyedari kehadiran polis.
Menarik dalam serbuan ini, aku bertemu rakan lama Inspektor Shamsul Kamal Abdullah (gambar atas) yang baru ditukarkan kembali ke Johor Bahru dari Pulau Pinang, dua minggu lalu.
Aku mengenali Inspektor Shamsul sejak 1994. Lama dah tu. Tapi rambut dia tetap hitam, rambut aku makin putih. Dia pergi Yun Nam ke? Aku lupa nak tanya.
Otai wartawan jenayah dan kini lebih mengkhususkan penulisan dokumentari Majalah 3, Mazidulakmal Sidik juga mengenali pegawai polis ini.
17 wanita warga China berusia antara 23 hingga 41 tahun ditahan dalam operasi diketuai Pegawai Turus D7 IPK Johor, DSP Mohammad Abdul Hamid. Mungkin akan ada soalan soalan nanti, “comel tak bro, cun tak bro?” 
Aku akui mereka comel dan cun disebabkan mekap yang tebal kerana aku sempat tengok wajah sebenar mereka pada passport dan aku pasti, kadangkala lampu neon yang samar mampu memperdaya mata suci kita. Ya, kita insan yang lemah sering diperdaya. Haha. Begitu juga dengan pelanggan di premis hiburan itu.
Tapi sumpah, aku tak tengok peha mereka biarpun pakaian mereka lebih mini dari baju anak saudara aku berusia 3 tahun.
Sebagai lazimnya, pelanggan di premis hiburan yang diserbu akan turut diperiksa sebagai salah satu rutin dan kadangkala ia menghasilkan penemuan mereka yang dikehendaki pihak berkuasa.
Berlaku sedikit kekecohan apabila salah seorang wanita terbabit yang disedari sudah dua kali ke tandas, selang seminit, akan meminta ke tandas lagi dan dipercayai untuk melarikan diri.
Manakala seorang lagi, sejak awal pemeriksaan tak putus asa menunjukkan lesen memandu pada aku dan bercakap dalam bahasa Cina yang aku sepatah haram pun tak faham apa dia cakap kecuali dia menunjukkan stereng kereta dan diselitkan perkataan Happy, Happy. 
Apa jadah yang Happy pun aku tak tahu. Yang aku tahu, aku tengok mereka tak berapa happy sebab kena cekup. Mungkin ada maksud tersirat. Aku tak tahu. Ke dia mintak aku drive thru Mcdonalds untuk beli Happy Meal bagi mendapatkan permainan terbaru, pun aku tak tahu. Mungkin jugak.
Kesemua wanita yang ditahan dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Peraturan 39 (B), Peraturan Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan permit lawatan sosial untuk bekerja.

Seorang lelaki penjaga premis berusia 45 tahun turut ditahan kerana menggaji dan melindungi wanita terbabit.
Operasi berakhir jam 4 pagi. 4 pagi ya puan puan sekelian. Balik, transfer visual, edit, buat skrip, campur tolak bahagi, dah jam 8 pagi. Kena letak timun kat mata. 

3 Replies to “#842: GRO 40 TAHUN GUNA VISA PELAJAR SEBUAH ‘INSTITUT KULINARI’ DICEKUP.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *