#796: BABI.

#796: BABI.

Kira-kira jam 6 petang semalam, aku terima panggilan dari seorang sahabat, Razak Isam, jemaah Masjid Al Falah, Taman Desa Jaya, Johor Bahru.
Masjid ini dibina pada tahun 2000 dan siap serta digunakan dua tahun kemudian.
Sepanjang hampir 12 tahun ia dimanfaatkan oleh umat Islam dan juga masyarakat di situ, mereka dikejutkan dengan penemuan empat ketulan dipercayai kepala babi diletakkan di pintu sisi masjid ini, kira-kira jam 5.25 petang semalam (Khamis).
Bagaimanapun, aku tak sempat pergi ke masjid itu kerana sedang mengikuti satu serbuan khas Cawangan D7, Ibupejabat Polis Kontinjen Johor melalui Ops Noda terhadap dua sarang pelacuran di Taman Daya, Johor Bahru.
Ketulan ditemui jemaah yang baru sahaja selesai menunaikan solat Asar di pintu sisi masjid ini sebelum mereka menghubungi pihak polis. 
Pada peringkat ini, mereka menganggap ia satu kebetulan dan tiada motif tertentu kerana keharmonian di kawasan itu sudah terbukti sejak masjid itu beroperasi hampir 12 tahun lalu.
Pagi tadi, kira-kira jam 6.52 pagi, sekali lagi Razak menghubungi aku mengatakan terdapat beberapa bungkusan plastik, kali ini diletakkan di depan pintu utama masjid dan dipercayai daging babi. Baca tu betul-betul. Dipercayai daging babi. Aku bukan pakar veterinar. Kau pun bukan. Jika ya, adakah kau lihat sendiri daging itu?
Beberapa anggota polis termasuk anggota Cawangan Khas (SB) yang sudah berada di kawasan itu sejak malam semalam membantu memeriksa daging terbabit. Mereka terdiri dari anggota bukan Islam. Kesemua bungkusan plastik mengandungi daging itu terus dibungkus dan dibawa balik untuk diserahkan kepada Jabatan Veterinar untuk disahkan sama ada benar atau sebaliknya, ia adalah babi.
Hanya krew kami berada di tempat kejadian dan tiada media lain tiba ketika pengambilan bukti diambil. Gambar di atas dijangka digunakan beberapa media tempatan.
 
Sepasukan anggota Jabatan Forensik PDRM turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Amer Awal turut berada di tempat kejadian bersama Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Roslan Zainuddin. 
Exco Kerajaan Johor, Datuk Maulizan Haji Bujang yang juga wakil rakyat kawasan itu tiba kira-kira jam 9.30 pagi  bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian.
“Kita jangan cepat melatah dengan tindakan individu tertentu (yang lakukan provokasi ini). Kita bimbang, kita lakukan sesuatu akan rosakkan hubungan dalam masyarakat serta akan membawa kesan tak baik pada masa akan datang,” jelas Maulizan.
Dua wakil rakyat dari MCA, turut tiba di perkarangan masjid dan menyatakan perbuatan ini adalah satu tindakan biadap serta cubaan merosakkan perpaduan antara kaum di negara ini.
“Orang yang lakukan perbuatan ini adalah extremis dan tak kisahkan perasaan orang lain. Kita perlu faham kita tinggal di negara berbilang bangsa serta agama dan kita boleh hidup dengan aman makmur. Tapi orang ini buat untuk hancurkan kita semua. Saya nasihatkan orang ini, jangan buat lagi, saya sendiri akan jumpa Ketua Polis Seri Alam supaya keadaan ini dapat dikawal. Saya sendiri rasa malu, sesiapa yang lakukan ini. Ini bukan cara yang baik tetapi cara yang biadap,” kata YB Tan Cher Puk (gambar atas berbaju putih).
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif yang bergegas ke tempat kejadian berkata satu pasukan khas sudah ditubuhkan bagi melakukan siasatan segera diketuai Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ismail Yatim dan berjanji akan membawa pihak terlibat ke muka keadilan.
Apapun menurut beliau, semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian kerana siasatan masih dijalankan termasuk menentukan haiwan sebenar daging yang ditinggalkan di kedua-dua pintu masuk masjid itu.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut dilihat berada di kawasan masjid sejak pagi tadi namun kehadiran beberapa pemimpin masyarakat pelbagai kaum sedikit sebanyak meredakan kemarahan masyarakat. 
Apapun, ini bukanlah tindakan berdasarkan bangsa mahupun agama tetapi ia adalah perbuatan biadap individu yang dipercayai bermotifkan provokasi bagi menghancurkan perpaduan serta keamanan antara kaum yang kita nikmati sekarang.
Ketika aku berada di tempat kejadian, menuduh sesuatu bangsa adalah sangat tidak tepat kerana kita bukanlah pasukan polis yang melakukan siasatan secara teliti. Yang pasti, ia bukan berdasarkan bangsanya sebaliknya ia adalah tindakan individu dan ini jelas, ketika pihak berkuasa sedang melakukan siasatan, ia turut menarik perhatian kejiranan pelbagai bangsa dan agama di situ yang turut melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan cubaan menjejaskan perpaduan antara kaum dan agama di situ.
Dan nasihat aku kepada mereka yang tiada di tempat kejadian terutama yang secara tiba-tiba jadik lebih pandai dari polis walhal bangun tidur pun jam 10 pagi dan tiba tiba mampu menjadi nujum dan tahu siapa yang buat, hentikanlah spekulasi anda ya, kerana ia boleh memburukkan keadaan. 
Dan melabelkan sesuatu bangsa sebagai pihak bertanggungjawab melakukan perbuatan ini adalah sangat SALAH kerana perbuatan ini adalah minoriti dan bukannya majoriti sekaligus boleh melukakan hati keseluruhan bangsa yang dituduh itu. Sama seperti kita  jika dituduh dengan pelbagai gelaran menggunakan bangsa, ia adalah sangat menjengkelkan. Maka eloklah kita pun tidak melakukan perkara yang sama.
Apapun, individu yang meletakkan daging dipercayai babi ini sama seperti babi kerana cuba memecahbelahkan kita, maka jika kita juga bertindak balas tanpa usul periksa, kita juga babi.

5 Replies to “#796: BABI.”

  1. maybe sesetengah individu atau puak yang ada masalah dengan orang melayu, and then melepaskan marah pada semua orang islam…

    ini bukan hal bangsa atau agama, bagi saya ini cuma hal attitude dan mentaliti invidu tu sendiri.

    nice post again bro hazrey…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *