#791: PENJENAYAH PALING BERBAHAYA TUMPAS DI JOHOR BAHRU

#791: PENJENAYAH PALING BERBAHAYA TUMPAS DI JOHOR BAHRU

Polis Johor berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah paling dikehendaki kerana terlibat dengan sekurang-kurangnya 15 kes samun di sekitar Johor Bahru, Nusajaya dan Seri Alam, Johor.
Kejayaan itu diperolehi berikutan kecekapan sepasukan polis dari Cawangan Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
Jenayah terbaru dilakukan kumpulan ini adalah pada 9 Disember lalu dengan melarikan seorang wanita warga Indonesia di pusat pembinaan di Ulu Tiram, Johor Bahru.
Kumpulan ini turut melakukan pemerasan RM10,000 bagi membebaskan wanita itu. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 384, Kanun Keseksaan.
Kira-kira jam 8 malam tadi (21 Dis), anggota D9 IPK Johor yang sedang menjalankan rondaan rutin berjaya mengesan tiga penjenayah terbabit di dalam sebuah kereta jenis Honda sedang dipandu di Bandar Dato Onn, Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Zainuddin Yacob berkata apabila diarah berhenti, penjenayah terbabit memecut melarikan diri.
Berlaku adegan kejar mengejar sejauh kira-kira tiga kilometer dan kenderaan yang dinaiki anggota D9 turut dilanggar penjenayah.
Bagaimanapun, kenderaan yang dinaiki penjenayah terbabit terbabas selepas melanggar sebatang pokok di susur keluar Bandar Dato Onn ke Lebuhraya Pandan Kempas.
Sebaik kereta terbabas, ketiga-tiga suspek berusia antara 27 hingga 31 tahun melarikan diri ke kawasan pembinaan berhampiran dan berlaku pergelutan dengan anggota polis.
Dalam pergelutan itu, dua dari penjenayah terbabit turut menggunakan parang untuk menyerang anggota polis yang cuba memberkas mereka.
Polis terpaksa melepaskan tembakan dan mengenai kaki kiri dan tangan kanan dua penjenayah terbabit.
Hasil pemeriksaan, polis menemui lima telefon bimbit, wang tunai RM5,000, alat penimbang, dua bilah parang dan alat pemotong.
Salah seorang suspek turut memiliki rekod jenayah lampau kerana terlibat dalam kes samun.
Penjenayah terbabit terdiri daripada dua lelaki warga Indonesia dan seorang warga tempatan dan dianggap sebagai berbahaya.
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *