#790: MAKLUMAT DI LAMAN WEB JPS DAN MKN PERLU DIPERBAIKI.

#790: MAKLUMAT DI LAMAN WEB JPS DAN MKN PERLU DIPERBAIKI.

Sejak beberapa hari lalu, beribu penduduk di selatan tanahair terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara berikutan banjir melanda kawasan mereka.
Hujan berterusan antara faktor menyebabkan air sungai melimpah melepasi tebing dan rumah penduduk dinaiki air.
Antara yang paling terjejas adalah di Kluang, Johor yang sehingga entry ini ditulis, melibatkan lebih 2,147 mangsa dari 49 keluarga.
Daerah lain yang turut terjejas akibat banjir ialah Batu Pahat (136 mangsa), Segamat (236), Kota Tinggi (17), Pontian (129) dan Kulaijaya (89).
Dan sejak Isnin lalu, saya memberikan laporan terkini jumlah mangsa dan keadaan banjir di Johor secara live melalui telefon di program bual bicara Malaysia Hari ini (MHI). Facebook: MHITV3  |  Twitter: @mhitv3
Insya’allah, laporan secara live on phone ini akan diteruskan dari masa ke semasa, bergantung kepada keadaan. Bolehlah tengok setiap pagi ya – untuk yang bangkit pagi untuk menunaikan kewajipan. Ya, itu sindiran.
Apapun, berdasarkan pengalaman tahun-tahun sebelum ini, saya dapati laporan yang dipaparkan di laman web Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri di www.mkn.gov.my melalui Potral Banjir seringkali terlewat untuk dikemaskinikan berbanding maklumat yang disediakan Kerajaan Negeri Johor di www.johordt.gov.my
Statistik yang disediakan di laman web Kerajaan Johor lebih terkini dan sentiasa dikemaskinikan bagi memberi gambaran jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir. Sebagaimana tahun sebelum ini, statistik yang dipaparkan di Majlis Keselamatan Negara jarang saya gunakan berikutan kelewatan mengemaskini maklumat mereka.
Sebagai wartawan, kami seharusnya sentiasa memastikan pengesahan maklumat dilakukan bagi memastikan ia lebih terkini dan sesuai dengan keadaan sebenar sebelum maklumat disebarkan.
Seharusnya pihak pengendali laman web terbabit perlu memberi perhatian kerana kita tidak mahu jumlah yang tinggi dan tidak berubah langsung untuk jangka masa yang panjang sekaligus memberi gambaran jumlah membimbangkan apabila dipetik media tempatan.

Ia juga mungkin membimbangkan ahli keluarga mangsa banjir yang bergantung kepada laman web ini.

Berikut adalah contoh screengrab jam 7.00 pagi ini, perbandingan laporan dua laman web yang dikendalikan Kerajaan Johor dan Majlis Keselamatan Negara. Kita dapat lihat kelemahan pada portal banjir dikendalikan MKN.

Screengrab menunjukkan maklumat banjir Kerajaan Johor dikemaskini jam 4 pagi tadi dengan jumlah terkini mangsa banjir adalah 2,754 mangsa melibatkan 703 keluarga. 
Bagaimanapun, portal MKN masih kekal dengan jumlah 3,259 mangsa dipercayai sejak petang semalam (20 Disember). 
Perbezaan seramai 505 mangsa adalah satu angka yang besar dan memungkinkan ada pusat pemindahan sudah ditutup apabila mangsa dibenarkan pulang ke rumah.

Apakah koordinasi antara MKN yang sepatutnya menjadi agensi utama pengurusan bencana lemah atau kakitangan tidak mencukupi bagi memastikan statistik dikemaskini dengan lebih tepat dan terkini?

 MKN seharusnya memberi perhatian terhadap kelemahan ini kerana masyarakat dan pihak media sentiasa merujuk kepada portal banjir yang disediakan.
MKN seharusnya mencontohi usaha Kerajaan Johor yang mengemaskinikan maklumat setiap empat jam dan ini sekaligus memberi gambaran sebenar keadaan banjir dan jumlah mangsa.
Pada pendapat saya, jika tidak mampu untuk mengemaskini setiap empat jam sebagaimana dilakukan Kerajaan Johor, mungkin ia boleh dilakukan setiap enam atau lapan jam. Tapi apa yang saya lihat, kadangkala berhari-hari tidak dikemaskini.
Manakala kelemahan sama turut dilihat pada Sistem Amaran Awal Banjir yang diwujudkan oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran Malaysia di http://publicinfobanjir.water.gov.my yang sepatutnya lebih terkini.
Sila lihat pada waktu kemaskini: 
Kali terakhir keadaan banjir di kawasan yang disebutkan adalah pada jam 6 petang, 19 Disember lalu dan hari ini sudahpun 21 Disember. Ini bermakna JPS terlewat selama dua hari untuk mengemaskini maklumat mereka.
Yang paling menghairankan adalah apabila diklik pada submenu Penempatan Banjir di bawah menu utama yang dinamakan ‘Maklumat Terkini’, ini yang kita perolehi:

Tiada maklumat Penempatan Banjir Terkini ? Adakah mereka merujuk kepada banjir di negara lain? 
Seharusnya, jika maklumat sebegini yang mahu diperolehi pengguna internet, lebih baiklah ia ditutup kerana tidak nampak akan relevannya jika ditulis Maklumat Terkini tetapi tiada yang terkini mengenai maklumat yang disediakan di laman web ini. 
Maka, masyarakat Malaysia akan ‘back to square one’ iaitu menggunakan google mencari segala jenis maklumat banjir tanpa halatuju khusus di sebalik pelbagai pengiklanan kerajaan melaksanakan promosi bagi laman web dan twitter dikendalikan JPS ini. 
Untuk makluman, portal dikendalikan JPS ini adalah usaha kerajaan mewujudkan Sistem Amaran Awal Banjir. Usaha itu sangat baik namun perlaksanaannya sangat lemah. 
Jika ada pegawai Majlis Keselamatan Negara mahupun Jabatan Pengairan dan Saliran membaca posting ini, diharap dapat memperbaiki sistem penyampaian maklumat di kedua-dua laman web mereka bagi tidak mengelirukan orang ramai apabila dipetik media nanti. 
Dan untuk pembaca yang inginkan maklumat lebih terkini status banjir di Johor, adalah dinasihatkan untuk mengakses portal banjir yang dikendalikan Kerajaan Johor di www.johordt.gov.my kerana ia lebih terkini. Namun, diharapkan pihak bertanggungjawab akan turut memasukkan kawasan atau jalan yang ditutup untuk rujukan pengguna jalanraya. Mereka sangat memerlukan maklumat seperti itu bagi mengelak dari terperangkap dalam perjalanan mereka.
Manakala hotline Bilik Gerakan Banjir Negeri Johor ialah sebagaimana berikut:
TELEFON (HOT-LINE): 07-222 5160 / 07-222 5149

3 Replies to “#790: MAKLUMAT DI LAMAN WEB JPS DAN MKN PERLU DIPERBAIKI.”

  1. Betul tu, buat bersungguh-sungguh tapi perlaksanaan dan penyelarasan zero.

    Apa yang menggelikan MKN siap maklum dalam iklan atau berita sama ada TV1,TV2 dan TV3 setiap hari tentang portal banjir tersebut dan kita di suruh merujuk ke portal banjir yang disediakan.

    Rasanya bila banjir dah surut barulah laman web ni banjir.Seperti kata hazrey memang betul rasanya web-web tu merujuk kepada negara Malaysia yang mana pun tak dapat dipastikan.

    Mungkin web tersebut mentafsir apa akan terjadi pada tahun hadapan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *